Lima hospital awam terima RM162,000 dana zakat, 35 unit mesin bantuan oksigen ZPP

SEBERANG JAYA – Lima hospital awam dan sebuah klinik kesihatan (KK) di negeri ini menerima agihan zakat berjumlah RM162,000 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap dengan agihan itu dapat memastikan golongan kurang berkemampuan dalam kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) di Pulau Pinang dapat menampung kos pembiayaan perubatan serta mendapatkan rawatan yang terbaik bagi penjagaan kesihatan diri mereka.

“Salah satu sumber dana pembiayaan kesihatan dan perubatan ini adalah melalui dana agihan zakat yang menjadi jaminan kesejahteraan masyarakat khususnya melibatkan asnaf fakir dan miskin,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti di Hotel The Light dekat sini pada 30 November 2021.

Jelas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu lagi, sejak tahun 2015 ZPP memperuntukkan geran berkaitan kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital-Hospital Negeri Pulau Pinang bagi tujuan membantu golongan asnaf fakir dan miskin yang memerlukan bantuan segera.

“Antara bantuan perubatan (daripada sumber agihan zakat ZPP) seperti kos rawatan, kos pengangkutan ke hospital, kerusi roda, susu formula, lampin pakai buang, tongkat dan lain-lain lagi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali, memberitahu bahawa pada kali ini Hospital Pulau Pinang menerima agihan zakat negeri sejumlah RM100,000; Hospital Seberang Jaya (RM35,000); Hospital Bukit Mertajam (RM10,000); Hospital Kepala Batas (RM10,000); Hospital Sungai Bakap (RM5,000); dan Klinik Kesihatan Barat Daya (RM2,000).

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa ZPP akan menyumbang mesin bantuan oksigen sebanyak 35 unit yang nilai keseluruhannya sebanyak RM160,000.

“Sumbangan mesin bantuan oksigen ini akan diserahkan kepada Hospital Seberang Jaya sebanyak 20 unit; sementara Hospital Kepala Batas akan menerima sebanyak RM15 unit mesin bantuan oksigen,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama strategik antara ZPP dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital-Hospital Negeri Pulau Pinang yang telah masuk tahun keenam kini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu bahawa ZPP sejak 23 Mac 2020 hingga 30 September 2021 telah melaksanakan Skim Bantuan Khas Zakat COVID-19 serta berjaya mengagihkan kira-kira RM17.8 juta bagi membela golongan asnaf yang terjejas hidup di Pulau Pinang.

“Bagi segmen bantuan kesihatan terhadap pesakit-pesakit yang positif COVID-19, ZPP telah menyalurkan bantuan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada mereka.

“Walaupun sumbangan ini tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan keperluan sebenar para penerima bantuan zakat berkenaan, namun ia sudah mampu memenuhi sedikit keperluan mereka yang dikuarantin akibat positif COVID-19,” jelasnya lagi.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Ma’arof Sudin turut berucap pada majlis sama.

Hadir sama, wakil Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Ibrahim Tahir Naosherwan Anwar; Dr. Saiful Azlan Sharif (Pengarah Hospital Seberang Jaya); Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib (Pengarah Hospital Kepala Batas); Dr. Suriani Saaidin (Pengarah Hospital Sungai Bakap); Dr. Goh Hin Kwang (Pengarah Hospital Bukit Mertajam); Dr. Hassanin Husseyne Hilmi Mohd. Khalid (Pengarah Hospital Balik Pulau); dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, Syahrul Nasir Mat Rais.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR