Lima institusi, infrastruktur pendidikan baharu bakal dibangunkan tahun ini

Admin
whatsapp image 2024 03 14 at 10.38.53

GEORGE TOWN – Sebanyak lima institusi dan infrastruktur pendidikan baharu bakal dibangunkan di Pulau Pinang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mulai tahun 2024.

Antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Nakhoda Intan, Daerah Seberang Perai Tengah; SMK Air Putih, Daerah Barat Daya; Kolej Tingkatan Enam Sri Permatang, Daerah Seberang Perai Selatan; Kompleks Sekolah Sungai Tiram (sekolah rendah dan menengah), Daerah Barat Daya dan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Wan Sajiri Wan Hassan pada sesi kunjungan hormat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Wan Sajiri hadir mengiringi Pengarah Pendidikan Negeri baharu dilantik pada 19 Februari lalu iaitu Abdul Said Hussain bersama-sama Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Roland @ Rozaidi Abu Hassan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Mohamad Said Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Integriti JPNPP, Faziana Farook.

Pada pertemuan itu, Wan Sajiri turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan cadangan pembinaan beberapa sekolah baharu di setiap daerah di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 kelak.

Turut dibentangkan adalah maklumat kepadatan sekolah di Pulau Pinang yang mana terdapat 59 sekolah dikategorikan sebagai ‘Kurang Kapasiti’; ‘Selesa’ (148); ‘Optimum’ (102); ‘Tidak Selesa’ (39) dan ‘Sangat Padat’ (45).

whatsapp image 2024 03 14 at 10.38.54
KETUA Menteri menyantuni delegasi dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pagi ini.

Dalam pada itu, Abdul Said menyatakan kesediaan JPNPP untuk memainkan peranannya dalam pendidikan bagi menjayakan matlamat Visi Penang2030. Malah, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow dan pimpinan Kerajaan Negeri yang sentiasa cakna terhadap aspek pendidikan.

Selain itu, Abdul Said membangkitkan beberapa isu lain antaranya mengenai cadangan membangunkan PPD Timur Laut dan kompleks pendidikan baharu berdekatan Bandar Seri Pinang yang pernah dibangkitkan oleh mantan Pengarah Pendidikan Negeri sebelum ini dan juga cadangan mengadakan ‘Wacana Ilmu’ sempena sambutan Hari Guru pada bulan Jun nanti.

Sementara itu, Kon Yeow mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Abdul Said sebagai Pengarah Pendidikan Negeri dan berharap isu-isu berkaitan pendidikan dapat diteroka serta diuruskan dengan sebaiknya.

Usai perbincangan, Abdul Said menyerahkan buku laporan program  dan aktiviti bagi tahun 2023 berserta plak sebagai momento kepada Kon Yeow.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN