Lima kadet St. John Ambulance selamat mangsa serangan jantung terima pengiktirafan

Admin

PANTAI JEREJAK – Kepantasan dan kecekapan lima kadet St. John Ambulance Malaysia (SJAM) dari Sekolah Tinggi Chung Ling menyelamatkan nyawa seorang mangsa yang diserang sakit jantung di sekolah berkenaan 1 September lalu mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri.

Kelima-lima mereka, Gabriel Soon Chai Long, 16, Liong Jun Yong, 16, S. Shaman, 14, Ansley Tan Zhong, 14 dan Tang Yi Ze, 14, menerima sijil penghargaan yang disampaikan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pagi tadi.

Turut menerima sijil pengiktirafan yang sama, lima kakitangan SJAM yang tampil memberikan rawatan lanjut sejurus mangsa diberikan bantuan kecemasan oleh kadet-kadet terbabit.

Ketangkasan lima kadet tersebut telah menyelamatkan nyawa mangsa, Long Soo Keat, 49, yang tiba-tiba rebah ketika perlawanan bola sepak persahabatan hingga memaksa bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan mesin AED (Automated External Defibrillator) terpaksa digunakan kerana dipercayai jantung mangsa telah terhenti.

Bagaimanapun, hasil kecekapan mereka mengendalikan kes itu telah menyelamatkan mangsa yang seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tuntas, Afif pada majlis itu menyeru lebih ramai masyarakat mempelajari teknik-teknik melakukan CPR dan menggunakan alatan AED.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara agreasifnya menjalankan program heart safe untuk menyediakan lebih ramai responder pertama yang dapat tampil membantu mangsa-mangsa serangan jantung pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Kita (Kerajaan Negeri) mulakan usaha meletakkan alatan AED di tempat-tempat awam adalah kerana kesedaran tentang risiko serangan jantung terhadap mangsa di tempat-tempat awam amat tinggi.

Kadar survival mereka yang diserang di tempat-tempat awam hanya satu peratus berbanding di negara-negara luar seperti Singapura iaitu 12 peratus.

Mungkin (usaha) yang kita lakukan tidak membuahkan hasil serta-merta tetapi sebaliknya ia akan memberikan pulangan pada masa hadapan… seperti pelajar-pelajar ini, mereka adalah responder pertama pada hari kejadian dan dengan menggunakan teknik CPR dan mesin AED yang dipasang di sekolah berkenaan, satu nyawa telah dapat diselamatkan,” ujarnya sambil mengucapkan syabas kepada anak-anak muda berkenaan.

Afif berkata demikian ketika merasmikan Majlis MASS CPR-AED bertempat di Tapak Pesta Pulau Pinang.

Hadir sama Ketua Polis Negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (BOMBA), Saadon Mokjtar, Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Hamizan Harun, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang, Kolonel Pang Ah Lek dan Pakar Perunding Kanan Anestesiologi dan Rawatan Rapi merangkap Pengerusi Jawatankuasa MASS CPR-AED, Datuk Dr. Luah Lean Wah.

Seramai 1, 100 peserta dari pelbagai jabatan kerajaan, agensi negeri, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menjayakan program tersebut.

Serentak itu, ZOLL Medical Corporation menyumbangkan seunit mesin AED kepada SJAM, manakala mangsa, Soo Keat menyerahkan cek sumbangan untuk membeli dua unit AED masing-masingnya kepada Sekolah Tinggi Chung Ling dan Hospital Besar Pulau Pinang.