Lima kakitangan terima pampasan MPSP

SEBERANG JAYA – Lima kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang pernah mengalami kemalangan semasa menjalankan tugas hingga mengakibatkan hilang upaya kekal menerima pampasan berwajib baru-baru ini.

Mereka, S. Basudevan menerima pampasan sebanyak RM37,472.15, Muhamad Alif Yusoh (RM31,797.41), Abdul Halim Mat (RM13,448.03), Mohd. Hazli Harun (RM5,555.99) dan Azmezi Yusoff (RM5,311.88).

Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif berkata, pemberian pampasan itu adalah berdasarkan kelulusan ketetapan Mesyuarat Penuh pada 30 Jun 2012 yang meluluskan cadangan bayaran Skim Ex-Gracia Bencana Kerja bagi kakitangan majlis berkuatkuasa pada 1 Julai 2011.

“Bagaimanapun, tarikh pembayaran mula dibuat pada 1 Januari 2012…permohonan telah diterima daripada lima kakitangan majlis yang mengalami kemalangan atau bencana semasa menjalankan tugas rasmi.

“Pampasan atau ex-gracia ini diberikan setelah mendapati mereka yang berkenaan mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan dalam tugas rasmi,” ujarnya kepada wartawan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta tiga ahli majlis lain, Tan Cheong Heng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim turut menyertai majlis pemberian sumbangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Maimunah pada bulan Ogos lepas turut menyerahkan RM25,631.62 pampasan kepada balu Allahyarham Mohamad Fauzi Hasan yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa menjalankan tugas rasmi majlis.

Sebanyak RM100,000 diperuntukan dalam Bajet MPSP 2014 untuk tujuan pampasan atau ex-gracia kepada kakitangan majlis yang layak.