Lima keluarga terima rumah baharu

Admin

SUNGAI PINANG – Penantian lima keluarga dari Kampung Pisang Awak dekat Jelutong di sini untuk memiliki kediaman sendiri berakhir baru-baru ini apabila mendapat kunci rumah masing-masing di Desa Pinang Dua, Sungai Pinang.

Perkhabaran gembira tersebut merupakan hasil usaha bersama di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim, pihak pemaju JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) dan IJM Land.

Bagi YEOH SIEW CHOO, 62, beliau amat bersyukur kerana penantian selama enam tahun tersebut akhirnya menemui jalan penyelesaian menang-menang.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua pihak, tetapi sedikit sedih kerana suami pun sudah meninggal baru dapat duduk di rumah sendiri.

“Sekarang saya akan berpindah ke rumah baharu di Desa Pinang Dua bersama empat lagi anak perempuan dan memulakan kehidupan baru di sana,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara pada majlis ringkas penyerahan kunci rumah di Pusat Khidmat DUN Sungai Pinang baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Pengurus Besar Kanan IJM Land Wilayah Utara, Datuk Toh Chin Leong.

Bercakap kepada pemberita, Siew Khim memaklumkan, setinggan di kampung berkenaan mengalami proses pengambilan tanah oleh JKPSB untuk pembangunan.

“(Pemberian) pampasan ini adalah hasil pembelian unit rumah oleh JKPSB daripada IJM Land berikutan ada lima unit kekosongan di Desa Pinang Dua milik pemaju berkenaan (IJM Land), jadi mereka (lima keluarga) ini ditawarkan pampasan di sana.

“Saya berterima kasih kepada JKPSB dan IJM kerana walaupun projek ini tergendala, JKPSB bayar sewa kepada mereka yang terlibat bila notis untuk pembinaan dua bangunan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah dikeluarkan.

“Malangnya projek tersebut terpaksa dirobohkan dan akan memakan masa untuk pembinaan semula, jadi kita tidak mahu mereka tertunggu-tunggu dan IJM ada lima unit dan JKPSB berikan pampasan ini secara percuma kepada mereka,” ujar beliau.

Difahamkan, jumlah keseluruhan keluarga yang terlibat adalah 13 dan baki daripada lima keluarga tersebut memilih untuk menerima pampasan tunai.

Wakil JKPSB dalam pada itu memberitahu, pihak JKPSB kini belum menyatakan pelan baharu bagi pembangunan di Kampung Pisang Awak setelah projek tersebut dirobohkan baru-baru ini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING