Lima KPI pastikan peranan Ahli Majlis dilaksana baik dan sempurna

TANJONG BUNGA – Seperti jabatan-jabatan kerajaan, prestasi semua Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut akan dinilai berpandukan lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pada peringkat Kerajaan Negeri.

 

Lima KPI yang dimaksudkan, menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo adalah kehadiran ke mesyuarat dan program jabatan, penganjuran program kebersihan, pengurusan aduan awam, penggunaan teknologi pintar dan penghijauan perkhidmatan.

 

“Tujuan pelaksanaan KPI ini demi memastikan tugas dan peranan seseorang Ahli Majlis dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

 

“Sebagai contoh, KPI kehadiran ke mesyuarat dan program jabatan ini adalah ditetapkan untuk memastikan suara dan peranan Ahli Majlis sebagai pimpinan masyarakat setempat dibawa ke mesyuarat.

 

“Bagi KPI penganjuran program kebersihan, saya menyeru Ahli-ahli Majlis semua bersama-sama membantu Kerajaan Negeri untuk menganjurkan program-program kebersihan di kawasan masing-masing dan menggunakan peruntukan yang diberikan secara berhemah dan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.

 

“Manakala KPI pengurusan aduan awam pula ditetapkan untuk memupuk sikap selalu turun padang untuk melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing,” ujar beliau ketika mengadakan Sidang Media Kursus Induksi Ahli Majlis PBT Negeri Pulau Pinang 2022 dekat sebuah hotel di Tanjong Bunga di sini pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa tiap-tiap Ahli Majlis memainkan peranan untuk menggubal dasar yang berkaitan penggunaan teknologi pintar dalam semua perkhidmatan PBT sekali gus merealisasikan Agenda Pintar Negeri pada peringkat negeri.

 

“KPI penghijauan perkhidmatan pula ditetapkan untuk memastikan Ahli Majlis memainkan peranan untuk menyokong dasar Kerajaan Negeri yang menekankan Agenda Hijau bagi melawan Krisis Cuaca (Climate Crisis) yang melanda dunia pada ketika ini.

 

“KPI ini juga akan melibatkan pelaksanaan promosi Dasar Pengasingan Sisa di Punca oleh Ahli Majlis bagi menyokong dasar tersebut yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri selain daripada memastikan 100 peratus bangunan milik PBT mendapat pensijilan hijau pada tahun 2030,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI