Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Sebanyak lima premis telah menerima notis penutupan premis perniagaan mereka selama dua minggu kerana tidak mematuhi Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-undang Kecil Establishmen Makanan 1991 dan Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Perintah notis tersebut dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut ekoran operasi penguatkuasaan ke atas premis-premis makanan di sini baru-baru ini.
Operasi melibatkan kawasan Lebuh Pasar, Lebuh King, Lebuh Queen dan Lebuh Chulia berkenaan diketuai oleh Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong dan Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Wong Kee Poh.
Ah Teong berkata, antara sebab premis-premis berkenaan diarahkan tutup dan dikenakan kompaun adalah berikutan keadaan premis yang kotor, makanan tercemar dan pekerja tidak diberikan suntikan pelalian Anti-Typhoid.
“Ekoran arahan penutupan tersebut, kita (pihak penguatkuasa) telah melekatkan notis bertulis di premis-premis terbabit. Justeru, mereka (pemilik premis) yang bertindak menanggalkan notis arahan tutup premis atau ingkar boleh dikenakan hukuman lima tahun penjara atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” tegas beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.