Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
BUKIT TENGAH – Sebanyak 30 lembu baka betina dan lima jantan jenis Brahma Kacukan diagihkan kepada lima penternak berkelayakan untuk pembiakan dalam negeri di sini baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang tersebut disempurnakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.
Afif ketika hadir menyempurnakan penyerahan lembu itu berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.708 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVNPP) pada tahun ini.
“Peruntukan yang diluluskan ini adalah untuk pelaksanaan projek pembangunan veterinar di seluruh negeri.
“Melalui Projek Pembangunan Industri Ruminan, JPVNPP telah membelanjakan RM128,000 untuk membeli lembu-lembu ini bagi diserahkan kepada para penternak,” katanya pada Majlis Penyerahan Lembu Baka Brahma Kacukan di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Pembangunan Industri JPVNPP, Dr. Madihah Rauza Ahmad Salimi.
Menurut Afif, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu penternak dan petani di negeri ini walaupun tidak mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat.
“Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk skim Tabung Usahawan Tani Muda bagi membantu para penternak dan petani di negeri ini.
“Dengan bantuan daripada kerajaan ini, diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani muda di masa depan dan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri contoh dalam bidang penternakan serta pertanian,” ujar beliau.
Dalam pada itu, menurut Madihah Rauza, setiap penerima melalui beberapa peringkat pemilihan sebelum menandatangani perjanjian dengan JPVNPP.
“Peringkat pemilihan ini adalah untuk memastikan penerima benar-benar layak dan berkebolehan menternak lembu.
“Setiap penternak menerima lima ekor lembu betina serta seekor lembu jantan dan (mereka) harus memulangkan kembali baka diterima dalam tempoh tujuh tahun,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil daripada sumbangan baka lembu tersebut, ia sekurang-kurangnya dapat mencapai sasaran 10 peratus pengeluaran daging dalam negeri.
Permohonan bantuan JPVNPP dibuka setiap tahun bermula 1 Januari hingga 1 Mac dan boleh dipohon melalui Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah di
seluruh negeri.