BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan 500 pek sumbangan bantuan Ramadan kepada golongan terpilih di sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya akan berusaha membawa limpahan kemewahan ekonomi dan pelaburan ke lima-lima daerah terutama kawasan luar bandar.
“Dalam tempoh kita mendapat mandat rakyat (untuk memainkan peranan sebagai sebuah Kerajaan Negeri), kita cuba dengan sedaya upaya melakukan apa yang terbaik untuk negeri (Pulau Pinang) dan rakyat kita.
“Sebab, tanpa mandat yang diberikan, maka kita (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional atas semangat Perpaduan) tidak ada peluang dan kesempatan untuk menjadi Kerajaan yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat jelata termasuk di kawasan luar bandar,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa berucap dalam majlis berkaitan di Jalan Satu, Kepala Batas pada 23 Mac 2025.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera kerajaan sama ada peringkat Persekutuan mahupun Negeri Pulau Pinang serta Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) kerana saling bekerjasama dengan pihak Pegawai Penyalaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dalam memastikan proses penyampaian maklumat serta bantuan sumbangan kepada masyarakat luar bandar berjalan lancar selama ini.

Selain Hock Peng, turut berucap adalah ADUN Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Hadir sama, Pegawai Daerah SPU, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Ketua Parti Amamah Negara (Amanah) Kawasan Kepala Batas, Azri Ramli Omar dan wakil-wakil agensi kerajaan seperti Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Hospital Kepala Batas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING