BUKIT TAMBUN – Fasa ketiga Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP3) serta kawasan sekitarnya akan turut mendapat limpahan pelaburan dan pembangunan ekonomi apabila Kerian Hi-Tech Park dekat utara Negeri Perak Darul Ridzuan dibangunkan kelak.
Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim memberitahu perkara itu kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebelum menyempurnakan majlis pecah tanah BKIP3 di sini pada 16 Februari 2024.
“Berita baiknya adalah usaha membangunkan Kerian Hi-Tech yang baru akan membawa limpahan (pelaburan dan pembangunan ekonomi) ke Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Sungai Acheh.
“Tekanan air dan tenaga yang mana ditumpukan di Perak dan kawasan Kerian, akan dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan…bekalan air yang banyak dari atau ke Kerian akan ‘turun’ ke Seberang Perai.
“Jadi, kita (Kerajaan Persekutuan) akan segerakan projek Air Perak Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Perak dalam majlis anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berkaitan.
Sebagaimana dinyatakan Kon Yeow, Anwar berkata bahawa pihaknya mengambil maklum ‘masalah’ bekalan air terawat yang menekan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk kawasan Parlimen Nibong Tebal.
Berucap sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa BKIP3 serta seluruh kawasan industri negeri serta wilayah utara Semenanjung Malaysia akan mendapat limpahan ekonomi yang positif ekoran wujudnya kesalinghubungan infrastruktur berkualiti seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Jambatan Pulau Pinang, Penang Port dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Sehubungan itu, dengan kehadiran Anwar sendiri bagi merasmikan projek taman industri baharu – yang merupakan taman industri ke-10 PDC di sini, diharap ia akan membuka lebih banyak potensi untuk negeri Pulau Pinang terus berkembang sebagai destinasi pelaburan pilihan buat golongan pemain industri.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa selama lebih 60 tahun di Pulau Pinang, terdapat lebih 350 syarikat antarabangsa (MNC) dan 4,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME), sungguhpun Pulau Pinang adalah negeri kedua paling kecil di Malaysia.
Sebagai negeri yang paling ke hadapan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), menurut Kon Yeow, Pulau Pinang terus menjadi pemacu untuk eksport E&E dalam negara.
“Pada tahun 2021, Pulau Pinang mencatatkan rekod eksport tertinggi dalam negara dengan jumlah RM354 bilion nilai eksport.
“Prestasi cemerlang negeri diteruskan pada tahun 2022 dengan kadar peningkatan 27 peratus tahun ke tahun dengan jumlah RM452 bilion iaitu 29 peratus daripada keseluruhan eksport negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Menurut beliau lagi, Pulau Pinang juga terus menjadi destinasi yang digemari oleh para pelabur ke Malaysia yang mana pada tahun 2021 menyaksikan RM76 bilion nilai pelaburan diluluskan ke negeri ini.
“RM76 bilion adalah rekod tertinggi oleh negeri setakat ini.
“Setakat bulan Januari hingga September 2023, jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan adalah sebanyak RM38.9 bilion, dengan pelaburan sektor E&E sebanyak 87 peratus,” ulasnya.
Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar antara barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir bagi menyaksikan acara pecah tanah projek taman industri baharu negeri tersebut.
Sebagai rekod, BKIP3 terletak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun dekat Daerah SPS.
Berkeluasan 622.61 ekar, ikut pecahan tanah, kawasan perindustrian seluas 339 ekar atau 54 peratus; infrastruktur utama (170.17 ekar atau 27 peratus); komersial (37.04 ekar atau 6 peratus); hab logistik (67.6 ekar atau 11 peratus) dan asrama pekerja (8.4 ekar atau 1 peratus).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI