Liputan 5G kawasan berpenduduk kini 90.3 peratus – Exco

Admin
f393e0fd 4838 4ce1 8883 d5c546d82fd4 ZAIRIL Khir Johari bersama-sama Pengarah Negeri SKMM, Khairilnaim Osman (kanan) dalam sidang media berkaitan seusai berucap dalam Bengkel Pembangunan Industri Telekomunikasi Peringkat Negeri Pulau Pinang di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 5 Mac 2024.

SEBERANG JAYA – Sehingga kini Pulau Pinang mencapai 90.3 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk yang mana melepasi sasaran nasional iaitu 80 peratus liputan.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata sehingga 4 Mac tahun ini sebanyak 416 lokasi struktur liputan 5G telah disiapkan oleh pihak Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata pihaknya yakin bahawa 36 lokasi struktur lagi berbaki dapat disiapkan mengikut jadual dalam tahun ini.

“Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada suku ketiga tahun 2023, negeri Pulau Pinang telah merekodkan kadar penembusan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk di negeri ini sebanyak 161.4 peratus iaitu melebihi purata nasional 133.8 peratus.

“Bagi peratusan liputan 4G, Pulau Pinang telah mencapai sebanyak 99.88 peratus berbanding purata nasional iaitu sebanyak 97.44 peratus; manakala purata kelajuan mudah alih pula, Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sebanyak 195.09 megabit sesaat (Mbps),” ujarnya semasa merasmikan Bengkel Pembangunan Industri Telekomunikasi Peringkat Negeri Pulau Pinang di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 5 Mac 2024.

1c4d537a 0f9e 452c abf1 d814ba1767f4
ZAIRIL Khir Johari (depan, tengah) merakamkan gambar dengan sekalian pemegang taruh industri telekomunikasi negeri seusai acara perasmian bengkel berkaitan di sini pada petang tadi.

Dalam sidang media selepas itu, Zairil turut menjelaskan mengenai status pemajuan projek pengukuhan bekalan elektrik melalui sambungtara talian atas yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) merentasi perairan negeri dekat Jambatan Pulau Pinang.

“Projek itu sudah 62 peratus siap, dijangka siap pada akhir tahun ini (2024)…sepatutnya dalam bulan September atau Oktober ini, kalau ikut jadual pemajuan.

“Semua kerja pembinaan struktur asas telah siap, tinggal lagi (kerja-kerja pemajuan) sambungan menaik tiang ‘monopole’ pada struktur tersedia di atas garis dasar sedang dilaksanakan,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa sehingga kini tiga tiang ‘monopole’ telah siap dipasang.

Difahamkan, sejumlah 32 tiang ‘monopole’ akan dipasang oleh TNB dalam projek tersebut – termasuk kerja-kerja pemajuan enam tiang mercu tanda pada bulan Jun depan bagi melambangkan identiti Pulau Pinang.

Demi memastikan bekalan tenaga ke bahagian Pulau pada masa hadapan kekal stabil dan terjamin, projek sambungtara talian atas tersebut mempunyai kapasiti tenaga elektrik jauh lebih tinggi iaitu sehingga 2,000 megawatt (MW) berbanding kapasiti sedia ada dengan kaedah kabel bawah Jambatan Pulau Pinang dan kabel dasar laut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI