Lokasi pasar lama dicadang jadikan parkir

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melalui Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 10 Tahun 2012 dalam pertimbangan dan cadangan untuk menjadikan lokasi lama Pasar Balik Pulau sebagai parkir meletak kenderaan ekoran bangunan terbabit telah terbiar kira-kira enam tahun lalu.

Dalam cadangan dikemukakan oleh Ahli Majlis MPPP, Felix Ooi Keat Hin berkata, kompleks pasar lama tersebut bakal dirobohkan MPPP dan dijadikan sebagai satu kawasan terbuka meletak kenderaan kepada orang ramai.

“Akibat daripada perpindahan para peniaga ke kompleks pasar baru, ia telah menyebabkan pasar sedia ada terbiar begitu sahaja dalam keadaan yang kotor, usang serta merbahaya kepada orang awam apabila ia menjadi tempat penagih dadah berkumpul dan anjing berkeliaran.

“Kawasan sekitar yang sesak juga memperuntukkan satu lokasi lebih besar dan strategik untuk mendirikan parkir,” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah Felix, sekiranya tiada sebarang bantahan diterima, cadangan menjadikan kawasan terbuka parkir berkenaan bakal diteruskan sementara menunggu MPPP melaksanakan proses merancang.

“Kita (MPPP) amat mengalu-alukan pendapat dan pandangan orang ramai untuk penambahbaikan kawasan ini. Asalkan, komponen sejarah, sosial, identiti dan budaya dikekalkan agar ianya sinonim dengan Balik Pulau.

“Mungkin di dalam jangka masa panjang, lokasi tersebut boleh dijadikan pasar hujung minggu dengan ‘memberikan’ semula kawasan tersebut kepada penduduk tempatan,” ujarnya.