Lompat parti, Kerajaan Negeri tunggu keputusan Mahkamah Tinggi

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri kini menunggu keputusan Mahkamah Tinggi untuk memutuskan Saman Pemula yang difailkan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung Perkara 14A Perlembagaan Negeri.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Saman Pemula empat ADUN tersebut kini perlu diputuskan berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan.

 

“Untuk tempoh kini, ada dua isu iaitu, yang pertama adalah adakan satu Sidang (Dewan Undangan Negeri, DUN) untuk pinda Perlembagaan Negeri supaya selari dengan pindaan Persekutuan, dan yang kedua adalah Sidang (DUN) bagi mengisytiharkan kerusi-kerusi berkenaan kosong.

 

“Kedua-dua isu tersebut adalah berlainan,” ujarnya pada sidang media di sini tadi.

 

Menurut Kon Yeow, sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Perlembagaan Negeri adalah sah yang mana undang-undang Perlembagaan Negeri memperuntukkan beberapa keadaan yang mana beberapa kerusi boleh diisytiharkan kosong setelah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) lompat parti.

 

“Bukan sekadar meninggalkan kerusi parti yang mereka menang sebagaimana di Persekutuan, dalam kes Perlembagaan Negeri, walaupun dipecatpun, walaupun menjadi bebas, setelah menang menyertai parti, semua dianggap lompat parti.

 

“Untuk itu, di pihak MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) Negeri, kita juga telah minta dapatkan satu tarikh untuk bicara dengan segera dan mahu lihat apakah keputusan Mahkamah Tinggi setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan keperlembagaan Perkara 14A,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sekiranya sebarang keputusan diumumkan sekalipun, Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan ekoran jangkaan Pilihan Raya Umum (PRU) juga adalah kurang daripada tempoh dua tahun yang tidak lagi memerlukan PRK sekiranya berlaku kekosongan kerusi.

 

Namun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyifatkan keputusan tersebut adalah penting sebagai rekod untuk masa akan datang.

 

Dalam satu keputusan di Mahkamah Persekutuan pada awal Ogos lalu, Ketua Hakim Negara yang mempengerusikan panel tujuh hakim memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : LAW SUUN TING