Lonely Planet senarai makanan negeri paling enak 2014

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Penerbit majalah panduan pelancongan terkenal dunia, Lonely Planet menyenaraikan Pulau Pinang sebagai destinasi masakan paling enak bagi tahun 2014, lapor harian British, The Independent.

Editor bertauliah Lonely Planet, Robin Barton dalam tulisannya dipetik berkata, char koey teow, mee Hokkien dan asam laksa merupakan antara makanan paling enak “yang mesti dicuba” di kawasan penjajaan sekitar negeri ini.

Laporan antarabangsa tersebut turut menyebut bahawa status terbaru Pulau Pinang itu sekaligus mendahului tempat masakan terkemuka lain seperti Victoria di Australia, Utara Barat Sepanyol, dekat Selatan Amerika Syarikat, Lake District di United Kingdom, Puglia di Itali, Georgia dan Oaxaca di Mexico.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu reaksi berharap pencapaian itu memberi motivasi kepada seluruh rakyat di negeri ini untuk terus bekerja keras walaupun terpaksa berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Walaupun harga barang naik, harga minyak RON95 naik, kos sara hidup pun naik, rakyat tidak boleh berputus asa dan harus lebih bekerja kuat.

“Hanya mereka yang berkerja bersungguh-sungguh dan kuat sahaja boleh mendapat untung yang lebih, seperti penjaja-penjaja makan bekerja keras mencari untung (sehingga) masakan mereka (iaitu) char koey teow, mee Hokkien dan laksa asam dapat pengiktirafan dunia,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Ng Yam Huat di sini baru-baru ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff merupakan dif kehormat utama pada majlis keraian tersebut.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai-pegawai Kerajaan serta pemimpin-pemimpin masyarakat daripada pelbagai peringkat turut hadir pada majlis jamuan berkenaan.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri atas bidang kuasanya telah melakukan langkah terbaik untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup rakyat, antaranya menangguhkan sekali lagi syor Putrajaya untuk menaikkan kadar cukai tanah dan cukai pintu untuk tahun ini.

Kali pertama, pentadbiran Guan Eng melakukan langkah serupa adalah pada tahun 2008, iaitu sejurus mengambil alih Kerajaan Negeri.