BATU UBAN – Penduduk di sekitar kawasan Cangkat Minden Jalan 3 tidak perlu khuatir akan risiko banjir kilat setelah kerja-kerja pembinaan longkang telah siap sepenuhnya.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa isu di kawasan tersebut turut mendapat perhatian daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta telah diambil tindakan lanjut.
“Projek ini merupakan salah satu daripada dua projek mengatasi masalah banjir kilat di kawasan perumahan Minden Heights melibatkan Cangkat Minden Jalan 6 dan 7 serta pada hari ini dekat Jalan 3.
“Untuk makluman, projek ini dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri atau Malaysian Road Information System (MARIS) yang disalurkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Timur Laut melibatkan kos hampir sebanyak RM800,000,” ulasnya pada sidang media yang diadakan di tapak projek berkaitan di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan dan calon Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Mengulas mengenai objektif utama projek ini, Zairil memberitahu bahawa ia bagi meminimalkan risiko banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar kawasan berkaitan semasa hujan lebat berpanjangan.
“Kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan bermula 17 Mei 2022 lalu dan siap sepenuhnya pada 4 Oktober 2022 berpandukan laporan teknikal yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” tambahnya.
Buletin Mutiara difahamkan, kawasan berkaitan berisiko tinggi setiap kali berlakunya banjir kilat terutamanya semasa keadaan cuaca tidak menentu.
Dalam pada itu, Kumaresan turut menyatakan bahawa masalah banjir yang berlaku setelah hampir 30 tahun kini tidak perlu dikhuatiri lagi.
“Semasa keadaan cuaca yang tidak menentu baru-baru ini, saya telah turun padang ke sini (Jalan 3) untuk melihat sendiri hasil penyelenggaraan yang telah dijalankan dan amat berpuas hati.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak JKR dan JPS yang telah membuat kajian menyeluruh dalam memastikan kawasan ini tidak lagi mempunyai risiko banjir,” ujarnya yang turut membangkitkan isu berkaitan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.
Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL