DATOK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menasihati seluruh rakyat di negeri ini agar terus berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ekoran terdapat lonjakan kes COVID-19 kebelakangan ini.
Menurut beliau, pola kenaikan tersebut bukan sahaja di Pulau Pinang malahan turut melibatkan seluruh negara dan dunia.
“Beberapa hari kebelakangan ini kes (COVID-19) di Pulau Pinang cuma sekitar 100 kes lebih namun semalam ia telah melonjak kepada 387 kes dalam sehari.
“Ini satu perkara yang membimbangkan kita dan jika melihat kes di seluruh negara telah melebihi 5,700 kes aktif berbanding sebelum ini, kurang 3,000 kes sehari.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada rakyat negeri ini untuk segera mendapatkan dos penggalak (booster) bagi melindungi diri daripada wabak COVID-19 ini,” ujarnya pada Majlis Pemberian Sumbangan Kepada Wira Barisan Hadapan Sempena Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani, di sini pagi ini.
Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan serta kakitangan-kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Pada majlis tersebut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat menyerahkan 100 bakul makanan untuk diagihkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), MBPP dan MBSP.
Agihan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada wira barisan hadapan yang tanpa lelah dalam memastikan pematuhan SOP pada peringkat akar umbi kekal sebagai usaha melawan COVID-19.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI