Lorong belakang ‘Mural Harapan’ tambah tarikan pelancongan ke Balai Bomba Lebuh Pantai

9c7ee1bd 65fb 42dc 81bd 9d109432c893 ‘MURAL Harapan’ dekat lorong belakang bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai turut mengabadikan tujuh anggotanya termasuk Muhammad Adib Mohd. Kassim yang menemukan ajak semasa dalam tugas, untuk tatapan sekalian pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa di sini.

BALAI Bomba dan Penyelamat Malaysia dekat Lebuh Pantai yang berusia kira-kira 116 tahun merupakan antara bangunan warisan ketara yang terdapat di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

e1e27fd2 3af8 4027 bc9a 88bc9dcb65f0
BALAI Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ini turut menyediakan ruang pameran koleksi terhad ala muzium buat sekalian pengunjung.

Bangunan ini tersenarai dalam direktori lokasi tumpuan pelancongan utama, baik dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pengembara antarabangsa, kerana di dalamnya sarat dengan sejarah jatuh bangun perjuangan sekalian anggota bomba di bandar raya tersebut sejak lebih 100 tahun lampau.

Pelbagai monumen dipamerkan pada bahagian utama bangunan balai bomba tersebut, meliputi peralatan-peralatan lama dan baharu yang digunakan dalam kerja-kerja penyelamatan, sampailah inovasi seragam anggota barisan hadapan bomba sehingga kini.

50a82ad3 1daa 4bc9 8b00 9c22ef3aab24
GAMBAR jentera lama Bomba dan Penyelamat antara koleksi terhad yang dipamerkan di balai berusia lebih 100 tahun tersebut.

Kata seorang anggota yang menyambut wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, LAW SUUN TING di sini pada tadi, sekalian anggota bomba di sini masih memainkan peranan hakiki masing-masing.

“Kita masih mengamalkan peranan hakiki sebagai anggota bomba iaitu melaksanakan tugas-tugas penyelamatan semasa berlaku kebakaran, iaitu memadamkan, melawan, mencegah dan mengawal api serta menjaga keselamatan awam dan harta benda (jika berlaku kebakaran).

“Balai ini beroperasi seperti biasa dengan 28 anggota bertugas dalam tiga pasukan, serta melibatkan penempatan di 15 kuarters anggota.

“Selain sebagai balai Bomba, seperti yang dapat dilihat, di sini – macam ‘muzium bomba’ – juga dibuka kepada pengunjung dan pelancong, sesuai dengan adanya bangunan warisan dan operasi penyelamatan yang wujud di sini sejak tahun 1908 lagi,” jelasnya.

Untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai peranan hakiki serta sumbangan Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia kepada negara sehingga saat ini, Buletin Mutiara dibawa melawat lorong bersebelahan bangunan balai tersebut.

Ada pelbagai lukisan mural yang begitu cantik dan indah, dengan sekurang-kurangnya membawa 18 mesej tersendiri yang memperihalkan mengenai tugas-tugas hakiki serta sejarah pengorbanan anggota Bomba, untuk tatapan pengunjung.

17e655fa f477 47c6 99b6 b090a0e447c4
LORONG belakang ‘Mural Harapan’ ini sengaja didekorasi sesuai untuk pelancong pejalan kaki mahupun mereka yang menaiki beca.

Datang Lorong Mural Suara Harapan (Beacon of Hope Mural) ini, akan kita lihat rupa-rupanya tugas hakiki sekalian anggota bomba bukan sahaja melakukan kerja-kerja penyelamatan awam dan harta benda, semasa kejadian kebakaran.

Ada macam-macam lagi tugas hakiki bomba yang mungkin di luar jangkaan orang awam, antaranya, kerja-kerja  penyelamatan di tapak kejadian tanah runtuh, bencana banjir, operasi mencari dan menyelamat (SAR), ‘helicopter rescue’, kerja-kerja menyelamat binatang peliharaan, operasi menangkap haiwan berbisa, kerja-kerja menyelamat berkaitan kemalangan jalan raya dan operasi menyelamat kenderaan mangsa lemas atau kenderaan terjatuh dalam laut.

Kata seorang pengunjung, paling menarik adalah lukisan mural ala tiga dimensi (3D) yang interaktif, memperihalkan keberanian anggota bomba mempertaruh nyawa sendiri meredah marakan api bagi menyelamat mangsa kebakaran.

Kata seorang pegawai Bomba, ‘Mural Harapan’ ini sebenarnya diilhamkan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang, PKPjB Saadon Moktar dengan tujuan menyemarak kesedaran positif pada kerja-kerja penyelamatan yang dilakukan oleh sekalian anggota barisan hadapan berkenaan di Balai Bomba Lebuh Pantai, dalam kalangan penduduk bandar raya ini khususnya.

Pengarah projek Mural Harapan ini adalah Dr. Lee Eng Wah, sementara pelukis pula adalah Tam Yaw Tyng yang lebih dikenali sebagai ‘Rockman Tam’.

Turut terlibat di sebalik projek tersebut adalah dua pereka grafik, iaitu Khor Xin Wen dan Quah Qiu Tong.

Nama semua mereka itu turut disematkan pada dinding masuk laluan Lorong Belakang ‘Mural Harapan’ tersebut, di Lebuh Victoria tembus menghala ke Lebuh Pantai.

Penaja bersama pula adalah The Learning Kingdom Education Sdn Bhd, D’Kingdom Education Sdn Bhd, D’Kingdom Education (PG2) Sdn Bhd, B&W Education San Bhd, dan NCC Education Sdn Bhd.

Selain lukisan mural Saadon, turut dapat dilihat wajah dua tonggak utama Jabatan berkenaan, iaitu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin; juga PGKB1 Jamil Abdullah @ Othman (Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang).

Turut dapat dilihat di sini adalah lukisan mural Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMX), Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim diapit oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan sendiri yang menyempurnakan acara gimik perasmian Lorong Belakang ‘Mural Harapan’ tersebut pada 5 Jun 2023.

img 8304
KELIHATAN dua pengunjung tempatan sedang membuat carian lanjut dalam internet berdasarkan lukisan dinding dan nama tujuh anggota Bomba berkenaan di Lorong Belakang ‘Mural Harapan’ di sini tadi.

Lebih bermakna di sini, adalah tertera lukisan mural beberapa wajah dengan nama masing-masing.

Yang dalam pengetahuan umum – kalau masih ingat – mungkin lukisan mural wajah Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Allahyarham merupakan anggota Bomba yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), selepas terlibat dalam kerja-kerja penyelamatan awam semasa kejadian rusuhan kuil pada 27 November 2018.

Sementara itu, lukisan Mohd. Fatah Hashim adalah seorang daripada enam anggota Bomba dan Penyelamat yang lemas dalam tragedi air berpusar ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja di Taman Putra Perdana, Puchong dalam kejadian pada 3 Oktober 2018.

Mangsa lain adalah Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Mereka antara barisan anggota yang telah pergi mengadap Ilahi, semasa dalam tugas, sekali gus menjadi lambang pengorbanan sekalian anggota Bomba di tanah air ini termasuk yang bertugas di Balai Bomba Lebuh Pantai sejak 1908 hingga kini.

Sehingga saat ini, lorong belakang ini tidak lagi sunyi daripada pengunjung, baik yang menaiki beca roda tiga mahupun berjalan kaki, sambil membuat carian internet mengenai enam wajah ‘wira’ bomba berkenaan.

Sesuai dengan slogan bomba iaitu ‘Mesra dan Cekap’, mesej-mesej 18 lukisan dinding menarik dan indah pada  lorong belakang ‘Mural Harapan’ mungkin membuatkan sekalian pengunjung kian menghargai sumbangan mereka dalam kerja-kerja penyelamatan awam selama ini.

Sesungguhnya kewujudan lorong belakang ‘Mural Harapan’ menambahkan lagi daya tarikan pelancongan bukan sahaja di bangunan warisan Balai Bomba Lebuh Pantai, malah sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

END