GEORGE TOWN – Percubaan lorong bas di sebahagian Jalan Penang dan Jalan Ria dekat sini yang bermula pada 19 November lalu adalah sebagai langkah meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, hasil awal pelaksanaan percubaan tersebut menunjukkan bahawa masa perjalanan bas di kawasan pusat bandar dapat dipercepat enam minit berbanding sebelum kewujudan lorong tersebut.
“Isu kesesakan lalu lintas bukan hanya melibatkan naik taraf jalan atau besarkan jalan semata-mata, kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam juga memainkan peranan penting.
“Namun di Pulau Pinang penggunaan pengangkutan awam masih rendah, kurang daripada 10 peratus.
“Kalau mahu galakkan peralihan bukan mudah, kerajaan juga perlu sediakan pengangkutan yang cekap seperti transit aliran ringan (LRT), bas dan lorong bas yang berfungsi menjadikan penggunaan pengangkutan awam sebagai satu pilihan.
“Pada peringkat awal memang kita dapat kritikan, hakikatnya lorong bas akan tingkatkan kecekapan bas supaya orang ramai akan beralih kepada pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kesesakan dalam jangka panjang,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini tengah hari tadi.
Dalam pada itu, Lai Heng berharap projek tersebut dapat diperluaskan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Jambatan Pulau Pinang.
Menyentuh isu berkaitan, beliau juga berharap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dapat mengambil alih penyelenggaraan hentian bas Chowrasta yang rosak dipercayai akibat vandalisme.
“Hasil pemerhatian kebelakangan ini kawasan tersebut tidak terjaga sehingga mengalami kerosakan, buku berkurangan dan jadi tempat gelandangan.
“Saya harap MBPP dapat mengambil alih agar dapat diselenggara dan membawa imej baik tambahan pula pasar Chowrasa adalah pasar tertua di Pulau Pinang,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD