Lorong tambahan atasi kesesakan 300,000 pengguna

Admin
KESESAKAN lalulintas dirakamkan pada waktu puncak yang terpaksa dilalui oleh pengguna saban hari kini.
KESESAKAN lalulintas dirakamkan pada waktu
puncak yang terpaksa dilalui oleh pengguna saban hari kini.

BATU UBAN – Masalah kesesakan pada waktu puncak terutamanya hari bekerja di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Batu Uban bakal diatasi dengan pembinaan lorong pusingan U dan pelebaran jalan sepanjang 400 meter, di sini.

Projek membabitkan kos RM3.7 juta tersebut dijangka siap sepenuhnya pada September ini dengan kerja pelebaran jalan kepada tiga lorong, pembinaan lorong pusingan U dari George Town menghala ke Tesco, E-Gate dan Green Lane serta pembinaan jejantas baru bagi pejalan kaki di Batu Uban.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B.Tuan Lim Guan Eng ketika upacara memecah tanah berkata, matlamat projek berkenaan adalah untuk menyelesaikan masalah utama dihadapi pengguna sejak 10 tahun lalu yang membawa kesesakan sepanjang dua kilometer pada waktu puncak.

“Masalah yang dihadapi oleh pekerja terutamanya di kawasan Perindustrian Bayan Lepas kini bakal diatasi dengan penambahan satu lorong kepada dua lorong sedia ada. Projek ini adalah hasil inisiatif bersama IJM Corporation (IJM).

Tambah beliau, pihak IJM juga akan membina semula jejantas baru sedia ada sepanjang 30 meter dengan ketinggian 5.4 meter.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan lorong pusingan U baru yang akan memendekkan 3.5 kilometer jarak perjalanan kerana pengguna tidak perlu lagi melakukan pusingan di Bayan Mutiara sebagaimana dipraktikkan kini.

Inisiatif ini sekaligus dapat mengurangkan trafik di Jalan Hajjah Rehmah.

Guan Eng berkata, lebih 300,000 kenderaan melalui lebuhraya berkenaan setiap hari menjadikan ia kawasan yang sangat sesak dan padat pada waktu puncak.

“Terima kasih kepada pihak IJM kerana mengambil langkah proaktif ini.

Kerjasama ini adalah bersifat ‘solution provider’ (penyelesai masalah) kepada kesesakan lalulintas sedia ada,” ujarnya.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.