Lot lidi ‘haram’ ke mahkamah, tegas Datuk Bandar MBSP

Admin
img 1549 DATUK Bandar MBSP berucap dalam Program Semarak Merdeka di tapak perhimpunan korporat Menara Bandaraya, sesuai mempengerusikan Majlis Penuh Majlis di sini pada 28 Ogos 2024.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melarang kerja-kerja tanah tanpa kebenaran merancang seperti menambun tanah sawah padi bagi tujuan mewujudkan ‘lot lidi’.

Mengulas lanjut, Datuk Bandarnya, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata pada 1 Ogos lepas Orang Kena Saman (OKS) telah hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan dan dijatuhkan hukuman denda RM25,000.

Pada 19 Ogos lepas pula, beliau memberitahu ada OKS turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan menambun tanah sawah padi bagi tujuan mewujudkan ‘lot lidi’ yang mana masing-masing didenda sebanyak RM10,000 dan RM5,000.

“MBSP akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati menjalankan aktiviti pemajuan kerja tanah tanpa kebenaran merancang atau menambun tanah bendang untuk dijual sebagai lot lidi,” jelasnya.

Beliau memberitahu perkara itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Kali Ke-602 Bil.8/2024 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Ogos 2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI