LovePENANG Run 2023 raikan 10,000 peserta serata negeri

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar penganjuran LovePENANG Run 2023 pada pagi ini dapat menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat setelah pasca pandemik COVID-19 berakhir.

KETUA Menteri semasa sesi berucap acara LovePENANG Run 2023 pagi tadi.

“Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri juga berharap agar keindahan dan kepelbagaian budaya yang menjadikan negeri ini unik serta istimewa dapat dirasai dan dinikmati secara bersama.

“Malah, secara tidak langsung, dengan pelaksanaan program-program menarik seperti ini, ia dapat membuka peluang kepada rakyat dan pemimpin di negeri ini merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya semasa menyempurnakan acara larian berkenaan sejauh lima kilometer (km) dekat Vision Park di sini awal pagi tadi.

KETUA Menteri semasa sesi ‘flagoff’ LovePENANG Run 2023 sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

PESERTA-PESERTA sempat merakam gambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri semasa acara larian 5km baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menekankan acara berkaitan berfungsi sebagai pendekatan dalam melahirkan sebuah masyarakat Madani.

“Saya difahamkan penyertaan kali ini telah mencatatkan penyertaan kira-kira 10,000 peserta yang juga turut melibatkan warga dari negeri Kedah dan Perak.

“Menerusi penekanan berkaitan, rakyat berupaya hidup secara mampan, sejahtera, berdaya cipta, hormat-menghormati, berkeyakinan diri, ihsan antara satu sama lain dan Rahmah sebagaimana diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita di peringkat Persekutuan,” ulasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT