LPNPP muncul johan kawad terbaik hasil disiplin dan kerjasama berpasukan

img 0772

LEMBAGA Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dipilih sebagai johan kawad kaki bagi kategori sektor awam sempena Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, LPNPP yang tampil segak dengan mengenakan busana tradisional Melayu bertemakan warna Jalur Gemilang turut memenangi tempat kedua pakaian terbaik bagi kategori sektor awam pada sambutan yang berlangsung dekat Padang Kota Lama, 31 Ogos lalu.

Kemenangan tersebut telah melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan dan piala iringan bagi acara kawad kaki, manakala RM2,000 bagi pakaian terbaik.

img 0744
Fakhurrazi Ibnu Omar.

Pemangku Pengurus Besar LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar berkata latihan berterusan selama sebulan oleh 54 orang peserta yang terlibat dalam latihan sangat berbaloi apabila telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kedua-dua kategori berkenaan.

“Tahun lepas kami kurang bertuah kerana busana yang dikenakan tidak mewakili tema hari kebangsaan, jadi pada tahun ini kami cuba lakukan penambahbaikan dalam beberapa perkara termasuk koreografi dan pakaian.

“Kami juga menjalani latihan setiap hari pada waktu petang selama hampir sebulan,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di pejabat beliau dekat Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasaan dan Perundangan LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim yang turut menjadi tulang belakang kepada kejayaan kontinjen kawad kaki LPNPP.

Fakhurrazi berkata, pada tahun ini kontinjen LPNPP menggunakan khidmat jurulatih daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkemaskan pergerakan serta membentuk disiplin pasukan.

“Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Koperal Sahadan Kamaruddin dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timir Laut yang bertindak sebagai fasilitator bagi kontinjen LPNPP.

“Jika dilihat kepada julat umur peserta adalah terdiri daripada 30 hingga 40 tahun, jadi mereka dilihat lebih mudah menerima setiap arahan yang diberikan oleh jurulatih.

“Di samping itu, kami juga mempunyai kakitangan dalam kalangan pesara tentera yang turut bertindak memberikan nasihat serta tunjuk ajar berkaitan disiplin kawad.

“Sebagai ketua jabatan, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan pengurus besar, Puan ‘Ainul Fadhilah Samsudi kerana telah meluluskan konsep pelepasan latihan bagi para peserta pada tahun ini,” ujarnya.

mf9 5192

masfarid d8ooe
Masfarid d8ooe

mf9 5245mf9 5075 enhanced nrwhatsapp image 2024 08 29 at 10.28.38 am

 

Dalam pada itu, Fakhrurrazi menegaskan bahawa LPNPP mementingkan disiplin serta komitmen yang merupakan sifat penting bagi setiap kakitangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negeri ini.

“Kami amat menitikberatkan disiplin dan kerjasama yang mana jika ada peserta yang kurang menunjukkan komitmen, kami akan gugurkan mereka daripada peserta perbarisan.

“Hal ini penting kerana selain LPNPP merupakan agensi yang selalu berurusan dengan masyarakat, dan pada masa sama kami juga mahu membanggakan agensi yang melatih kami,” jelasnya lanjut.

Mengulas mengenai pemilihan pakaian yang diperagakan, beliau berkata bahawa tema dan warna yang ditetapkan adalah disyorkan oleh setiap ketua unit yang kemudiannya diluluskan dalam satu mesyuarat.

“Pada tahun ini, kami mengambil inspirasi daripada warna-warna bendera Malaysia yang diterjemahkan dengan busana tradisional berwarna kuning seakan-akan raja bagi ketua kontinjen dan pemegang plakad.

“Selain itu, kami juga memilih warna putih bagi tiga pemegang bendera dan busana biru serta merah yang dilengkapi selempang berwarna kuning untuk peserta kawad yang lain.

“Secara keseluruhannya, kita mahu menonjolkan mesej kemerdekaan yang mana ketika tabik hormat diberikan, ia mentafsirkan semangat menuntut kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Fakhurrazi berkata, ketua kontinjen dipakaikan busana tradisional Melayu berwarna kuning emas, sebagai simbol kedudukan raja-raja Melayu dan disokong oleh pemegang bendera dengan busana putih yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Tiga jalur warna pada pakaian para kontinjen iaitu kuning, merah dan biru pula adalah mewakili tiga bangsa utama di Malaysia yang menjadi penyumbang kepada kemerdekaan tanah air tercinta,” jelasnya.

Beliau berkata, LPNPP merupakan agensi negeri yang mempunyai kesatuan pekerja serta kelab-kelab berkaitan yang membolehkan mereka lebih terbuka dalam memberikan sebarang idea bagi setiap program yang dijalankan.

“LNPP menganjurkan pelbagai program hampir setiap minggu, dan saya perhatikan bahawa mereka ini (kumpulan sokongan) mempunyai inisiatif serta tahu apa yang perlu sekiranya diberi peluang.

“Di sini, kami tekankan bahawa kumpulan pengurusan tidak semestinya bertindak sebagai pemberi arahan atau pembuat keputusan semata-mata tetapi kami turut terbuka kepada ketua-ketua unit yang ada.

“Ini merupakan sebahagian daripada langkah LPNPP untuk memperkasakan kepimpinan dan melatih setiap kakitangan untuk menyumbang idea dan membuat keputusan secara berpasukan,” katanya.

Justeru, beliau berkata hadiah kemenangan yang diperolehi akan dikongsikan kepada para peserta kontinjen sahaja.

“Hadiah ini adalah ganjaran kepada komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta yang telah bekerja keras dan mereka layak menikmati apa yang diperolehi ini,” katanya mengakhiri bicara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS