PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) kini sedang merangka 14 projek perumahan meliputi sembilan projek baharu dan lima projek pembaharuan semula, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Galeri Penang International Commercial City (PICC) dekat sini pagi ini.
“Projek pertama di bawah LPNPP adalah projek rumah mampu milik The Millenia dekat Bukit Gedung yang dijangka dimulakan pada penghujung tahun ini dan siap menjelang suku keempat tahun 2028 nanti.
“Melalui projek ini (The Millenia), sebanyak 1,260 unit rumah dibangunkan di atas tanah berkeluasan 8.7 ekar yang mematuhi piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan QLassic iaitu piawaian kualiti dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia,” ujarnya kepada pemberita di sini.
Hadir sama, Pengurus LMNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Bisnes LMNPP, Fakhurrzi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LMNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan Pengarah Urusan Hunza Properties Bhd., Datuk Khor Siang Gin.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa setakat hari ini, pembekalan rumah mampu milik di Pulau Pinang sudah mencapai 67.4 peratus daripada sasaran 220,000 unit menjelang tahun 2030.
“Jumlah tersebut bersamaan 148,810 unit meliputi rumah mampu milik Jenis A, B, C dan sewa beli yang dibekalkan melalui pemaju swasta termasuk Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC),” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI