LRA Bukit Panchor siap, ribuan akaun ‘tambahan’ terjejas dek isu tekanan air rendah kian pulih, respons Ketua Menteri

Admin
3d492caf 7fa1 473a 9026 44eb989e4ef2 KETUA Menteri (tengah, kanan) menyantuni para pengamal media di Pusat Media PRK Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda SPS di sini pada 25 Jun 2024.

SUNGAI BAKAP – Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor telah siap pada hujung tahun lepas serta memulihkan proses pembekalan air terawat ke beberapa ribu akaun ‘tambahan’ yang terjejas dek isu tekanan air rendah di sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sebelum ini termasuk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap.

Pun begitu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan penambahan 10 Juta Liter Sehari (MLD) berbanding kapasiti sedia ada masih tidak cukup bagi menangani isu gangguan bekalan air di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) secara keseluruhannya di negeri ini.

“LRA Bukit Panchor sudah siap beberapa bulan lalu, sekarang adalah fasa untuk PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) membuat kerja-kerja pelarasan supaya bekalan air dapat disalurkan dengan lebih sempurna.

“Tetapi, secara jujur, kapasiti ‘bertambah’ 10 MLD sahaja, maka ia membawa manfaat kepada beberapa ribu akaun ‘tambahan’ daripada yang sedia ada,” jelasnya.

Di KADUN Sungai Bakap misalnya, Kon Yeow memberitahu bahawa PBAPP telah memasang beberapa loji mudah alih sementara bagi menangani isu gangguan bekalan air.

“Maka, mengikut maklum balas daripada PBAPP, keadaan adalah terkawal, tidak ada aduan (gangguan bekalan air) yang besar dalam tempoh (PRK Sungai Bakap) ini,” ujarnya sambil menyatakan bahawa projek LRA Bukit Panchor tersebut adalah berskala kecil dan sederhana sahaja bagi menangani isu tekanan air rendah peringkat lokal.

Bercakap mengenai projek menangani isu tekanan air rendah yang berskala besar pula, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dan PBAPP sejak tahun 2009 lagi berusaha merealisasikan Projek Air Perak – Pulau Pinang.

“Syukur akhirnya, dengan keprihatinan (pentadbiran Perdana Menteri) Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, telah meneliti keperluan air di utara Perak dan negeri Pulau Pinang, RM4 bilion telah diperuntukan untuk melaksanakan Projek (Air Perak – Penang) yang berskala besar ini.

“(Projek Air Perak – Penang) ini akan siap dalam tempoh empat hingga lima tahun,” ulasnya lanjut.

Tambah Kon YEOW, sementara menunggu pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang direalisasikan, Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan lapan Projek Kontingensi Air 2023 – 2030 bernilai RM1.3 bilion, termasuk LRA Bukit Panchor sendiri.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menyambut baik usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana meluluskan RM230 juta untuk melaksanakan Projek Tebatan Banjir Sungai Jejawi.

“Bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Jejawi, saya berharap dapat menangani isu-isu banjir di kawasan-kawasan berkaitan di sepanjang lembangan Sungai Jejawi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

efd192c8 185d 4cba a96b 4efc3e27c58d
KETUA Menteri (kanan) semasa sesi rakaman Segman Bicara Prisma Khas PRK Sungai Bakap di sini tadi.

Kon Yeow memberi respons dua isu tersebut kepada pemberita sesuai memenuhi sesi rakaman Segman Bicara Prisma Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kompleks Rakan Muda SPS pada 25 Jun 2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD