LRA Sungai Dua tambah kapasiti maksimum 114JLH jadi 1,726JLH, tahniah PBAPP!

Admin
24717e60 3f66 4c00 b308 376df73366c8 KETUA Menteri menunjukkan loji rawatan air tambahan secara rasminya mula beroperasi, yang akan meningkatkan 114JLH lagi menjadi 1,726JLH di LRA Sungai Dua di sini pada 20 September 2024.

SUNGAI DUA – Dengan mula beroperasinya Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjaya meningkatkan kapasiti bekalan air terawat negeri sebanyak 114 Juta Liter Sehari (JLH) iaitu daripada 1,612JLH kepada 1,726JLH.

Pada tahun 2025 dan 2026, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa firma operator air negeri itu akan melaksanakan projek pembinaan saluran paip baharu sepanjang 13.0 kilometer (km) x 1.8 meter (m) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth yang menelan belanja RM128 juta.

Dua projek utama lain yang akan turut diberi tumpuan, menurut beliau adalah RM44 juta untuk pembinaan saluran paip baharu sepanjang 3.9km x 1.8m dari Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Rumah Rumah Pam Bukit Dumbar serta RM17 juta untuk projek saluran paip menyeberangi Sungai Perai.

“Pakej 12A iaitu loji rawatan air ‘tambahan’ di LRA Sungai Dua ini yang dapat membekalkan tambahan 114 JLH kepada pengguna negeri Pulau Pinang.

“(Pakej 12A) ini adalah sebahagian daripada lapan projek yang kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) umumkan sebelum ini iaitu Pelan Kontigensi Air bertujuan untuk menambah baik kapasiti air terawat serta penyampaian air kepada pengguna,” jelasnya selepas merasmikan Pakej 12A di LRA Sungai Dua dekat sini pada 20 September 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, sejumlah RM1.18 bilion akan dibelanjakan untuk menyiapkan kesemua lapan projek di bawah Pelan Kontingensi Air yang dijangka siap pada tahun 2030.

“Apabila (lapan projek di bawah Pelan Kontingensi Air dan Projek Air Perak-Pulau Pinang) siap, kita percaya kedayatahanan bekalan air kita ditingkatkan (bagi menampung keperluan air pada tahun 2050,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu bahawa sehingga semalam, beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka untuk penempatan mangsa-mangsa banjir dan dijangka henti operasi dalam satu atau dua hari, jika cuaca kian pulih.

“Mengikut amalan sebelum ini, Pusat Pemindahan (Sementara, PPS) bertujuan untuk memindah mangsa banjir kilat (yang mana) makan, minum serta khemah untuk tempat tidur disediakan.

“Kita (Kerajaan Negeri) memang tiada dasar sedemikian (iaitu menyalurkan bantuan atau pampasan kepada mangsa banjir kilat) kerana susah untuk dikenal pasti apakah yang dimaksudkan mangsa banjir kilat,” ulasnya lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI