LRT Laluan Mutiara hanya tunggu ‘Notis Permulaan’ daripada MRT Corp., respons Ketua Menteri

Admin
87df8e77 b39a 4f6e ba91 87828e62f077 KETUA Menteri (tengah) dengan diiringi S. Sundarajoo (kiri) dan Norazizi Adinan (kanan) dalam sidang media berkaitan di sini pada 19 April 2025.

BUKIT TAMBUN – Selagi Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) selaku syarikat milikan penuh Kerajaan Persekutuan tidak mengeluarkan Notis Permulaan berwajib, SRS Consortium sebagai firma pelaksana projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang tidak dapat memulakan kerja-kerja pembinaan bagi sistem mengangkutan darat moden negeri sulung tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Majlis Pelancaran Stesen Kitar Semula Sisa Elektronik (e-waste) kawasan Parlimen Batu Kawan dekat Design Village Outlet Mall pada 19 April 2025.

“Saya difahamkan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah notis pemulaan perlu dikeluarkan oleh MRT Corp kepada SRS Consortium.

“Selagi MRT Corp tidak mengeluarkan Notis (Pemulaan) itu, maka kita perlu tunggu (yang mana) lain-lain kerja yang tidak melibatkan pembinaan di tapak perlu diselesaikan juga,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Sementara menunggu Notis Permulaan tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Perpaduan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan kerja-kerja berwajib yang lain demi melicinkan kerja-kerja pembinaan LRT tersebut, kelak.

“Banyak kerja akan dilakukan serentak (yang mana) bagi pihak Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk (urusan) pengambilan tanah; kedua, mengusahakan struktur-struktur yang ada dalam tanah-tanah Kerajaan iaitu (merujuk pada) rizab jalan dan jajaran LRT itu perlu dikosongkan sebelum projek pembinaan bermula.

“Kerja-kerja ini dilakukan oleh Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut dan (Pentadbir Tanah Daerah) Barat Daya sebab melibatkan dua daerah ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Pada 12 Mac lepas, Kon Yeow antara lain memberitahu bahawa pentadbirannya optimis berhubung kerja-kerja fizikal bagi projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dari Bayan Lepas ke bandar raya George Town dan berakhir di Penang Sentral, Butterworth dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberi respons mengenai tahap perancangan mewujudkan bandar sukan atau ‘sport city’ di sekitar kawasan lapang berhampiran Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

“Proses tender telah ditutup, jawatankuasa penilaian tender juga telah ditubuhkan, sudah tentu mereka yang menyertai proses tender ini akan dinilai sama ada memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan atau sebaliknya, untuk mereka dipilih nanti,” responsnya.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Norazizi Adinan turut sertai sidang media tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT