LRT Laluan Mutiara, laluan pilihan telah disahkan – Ketua Menteri

Admin
img 20240624 wa0023

GEORGE TOWN – Ketua Menteri telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagi mengesahkan pilihan Kerajaan Negeri berkaitan jajaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dicadangkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa surat tersebut telah dihantar pada dua minggu lalu dan jajaran yang dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri adalah sedikit berbeza berbanding jajaran asal yang dicadangkan.

“Kita (Kerajaan Negeri) sudah memberikan persetujuan kepada jajaran pilihan yang telah dicadangkan oleh pihak pelaksana Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp).

“Kemudian, pihak MRT Corp akan membawa keputusan oleh Kerajaan Negeri ke dalam perbincangan bersama-sama pihak kontraktor untuk memuktamadkan kos projek tersebut,” jelasnya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.

Menurut Kon Yeow, jajaran yang dimuktamadkan adalah yang terbaik dari segi ketersambungan ke jajaran lain yang melibatkan Silicon Island pada masa akan datang.

“Malah, jajaran asal tidak mempunyai jajaran sehingga ke Penang Sentral di Butterworth.

“Bagi hal-hal berkaitan teknikal lain seperti ketinggian dan bentuk jajaran di sepanjang laluan jambatan akan diserahkan kepada MRT Corp,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Dalam perkembangan berlainan, Kon Yeow menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah mengambil maklum akan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan 20 peratus hasil cukai yang dikutip dari negeri ini.

“Dalam perjumpaan hampir sejak dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan mengenai keadaan fiskal negara yang terhad ketika ini.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan terbuka untuk melihat kepada makanisme lain yang boleh dilakukan untuk membantu negeri-negeri bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan,” katanya.

Tambah Kon Yeow, antara intipati lain yang disentuh dalam pertemuan tersebut antara lain berkenaan projek lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua, projek Air Perak-Pulau Pinang dan geran padanan bagi meningkatkan ekosistem Taman Reka Bentuk Bersepadu (IC design) dan Teknologi.

“Bagi projek lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua, Menteri Kewangan II memberitahu projek tersebut kini dalam fasa perbincangan dan kos awal dianggarkan berjumlah RM1.8 bilion manakala hal-hal teknikal berkaitan projek tersebut belum dibincangkan secara terperinci ketika pertemuan tersebut.

“Manakala bagi projek Air Perak-Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan mengenai maklumat terkini seperti kos, kaedah pelaksanaan, jadual dan sebagainya.

“Bagi pelaksanaan projek’ IC design’ Kerajaan Negeri telah memohon kepada Kementerian Kewangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) agar memberikan geran padanan sebanyak RM60 juta untuk pelaksanaan projek ini.

“Jadi, itu adalah antara perkara-perkara penting yang dibincangkan pada pertemuan tersebut, justeru, Kerajaan Negeri berharap permohonan-permohonan tersebut mendaat pertimbangan sera sokongan sewajarnya daripada pihak Kementerian,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING