GEORGE TOWN – Pemaju yang juga pemilik projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) kini pada peringkat rundingan akhir untuk memuktamadkan isu-isu berkaitan teknikal dan nilai kontrak.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setelah dimuktamadkan kelak, kedua-dua pihak akan memeterai satu perjanjian sebelum kerja-kerja di tapak projek dapat dimulakan.
MRT Corp sebagai agensi pelaksana bersama-sama SRS selaku kontraktor (rakan pelaksana projek) yang dilantik bagi pelaksanaan Segmen 1 Projek LRT Laluan Mutiara dari Bayan Lepas ke Komtar kini pada peringkat rundingan akhir meskipun sebelum ini ada beberapa pengumuman yang menyatakan hasrat agar projek ini bakal dimulakan pada suku terakhir tahun ini.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita juga ingin melihat agar kerja-kerja di lapangan (tapak projek) dapat dimulakan seperti yang dirancang,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita pada sesi sidang media tengah hari ini di Komtar.
Menurut Kon Yeow, tarikh sebenar bagi majlis pecah tanah akan diumumkan kelak sama ada oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) mahupun pihak MRT Corp.
“Kita (Kerajaan Negeri) juga menunggu tarikh upacara pecah tanah dan mengharapkan satu tarikh yang lebih awal,” katanya.
Bercakap mengenai Segmen 2 projek tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa ia melibatkan jajaran dari bahagian pulau ke Seberang Perai.
“Manakala bagi Segmen 3, iaitu kontrak ‘trunkey’ kerja-kerja sistem, setakat ini masih belum ada sebarang lantikan dibuat,” jelasnya.
Projek LRT Laluan Mutiara diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dengan MRT Corp dilantik sebagai pemaju serta pemilik aset berkenaan. Projek berkaitan dijangka siap dan beroperasi pada tahun 2030.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI