PADANG LALANG – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan, MRT Corp. dalam proses membentangkan kertas kerja cadangan pelaksanaan transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas serta jajaran tambahan baharu Komtar ke Penang Sentral dekat Butterworth untuk kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media seusai berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang di Dewan Ng Yam Huat, Bukit Mertajam dekat sini pada 13 Februari 2024.
“Cadangan asal kita (LRT dari Bayan Lepas) berakhir di Komtar, tetapi mereka membuat cadangan tambahan jajaran (dari Komtar) ke Penang Sentral (dekat Butterworth).
“Kalau tahun ini (2024) sudah boleh mula, saya kira cepat,” responsnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Menurut Kon Yeow, pentadbirannya menyatakan bahawa MRT Corp telah melantik satu juru perunding untuk mengkaji cadangan kajian reka bentuk serta kajian keboleklaksanaan projek LRT Komtar ke Bayan Lepas yang telahpun disempurnakan oleh rakan pelaksana projek (PDP) lantikan Kerajaan Negeri iaitu SRS Consortium.
Namun, menurut beliau, MRT Corp pada bulan Januari 2024 telah memberi kata putus berhubung reaksi GLC Persekutuan tersebut berhubung jajaran asal yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dan SRS Consortium sebelum ini.
Penjelasan tersebut sebagai mengulas lanjut ucapan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari sebelum itu.
Berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang sebelum itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Negeri berkata bahawa beliau akan berusaha menyiapkan beberapa projek infrastruktur utama rakyat sebelum habis penggal pentadbiran Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).
Turut berucap, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan ADUN Berapit, Heng Lee Lee yang juga pengerusi pengelola Majlis Rumah Terbuka DAP Negeri.
Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol (wakil Parti Keadilan Rakyat, PKR), Suzuki Ahmad (wakil Parti Amanah Negara, Amanah) dan Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD