Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
SEBERANG PERAI – Pertandingan Melukis Poskad dan Mencipta Cogankata ‘I Love Clean & Green’ anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru- baru ini berjaya menarik kira-kira 50 penyertaan dalam kalangan pelajar prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di sini.
Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, penganjuran pertandingan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga Seberang Perai khususnya para pelajar berhubung pentingnya kebersihan dan usaha penghijauan berterusan di sekitar kawasan kediaman.
“Tema I Love Clean & Green dipilih kerana ia sejajar dengan moto Kerajaan Negeri iaitu Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian segmen penting dalam agenda pengindahan Seberang Perai termasuk program kitar semula, sisa sifar, sekolah hijau, Clean Up The World dan Community Farming,” katanya pada Majlis Pelancaran Pertandingan Melukis Poskad dan Mencipta Cogankata ‘I Love Clean & Green’ di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng dan dua Ahli Majlis MPSP, Ho Leng Hong serta Chong Pei Pei.
Turut terlibat dalam jawatankuasa penganjur adalah Pasukan Wanita LA21 Kecemerlangan Wanita.
Setiap peserta menerima sijil penyertaan dan pemenang membawa pulang sebuah piala dan sejumlah wang tunai mengikut ketetapan masing-masing.
Maimunah memberitahu, melalui pertandingan berkenaan, para pelajar bebas menonjolkan kreativiti masing-masing bagi
mengekspresikan idea menjaga alam sekitar.
“Serentak itu, ia juga dapat mencungkil bakat terpendam pelajar dalam menghasilkan karya kreatif,” ujarnya.