GEORGE TOWN – Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada 25 September lalu telah meluluskan secara dasar cadangan menaik taraf Bahagian Kawal Selia Air Pulau Pinang (BKSA) kepada Lembaga Sumber Air Pulau Pinang.
Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dalam satu sidang media di pejabatnya pagi tadi.
Jelasnya, penubuhan tersebut penting dalam usaha memantapkan pengurusan sumber air di Pulau Pinang melalui lima teras utama.
“Lima teras tersebut adalah pengurusan dan perlindungan sumber air, penggunaan sumber air, pemuliharaan sumber air, penguatkuasaan dan kesalahan serta penalti.
“Melalui Lembaga Sumber Air Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan berupaya untuk menguruskan sumber air lebih menyeluruh dan komprehensif dengan punca kuasa enakmen serta peraturan dan kepakaran yang bersesuaian,” ujarnya kepada pemberita.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian BKSA, Najwa Juaini Azmi; Jurutera Awam BKSA, Ir, Ts. Hafeeza Dzulienaa Md. Puzi dan Penolong Jurutera Kanan BKSA, Mohd. Khairuddin Rosli.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga memaklumkan bahawa adalah lebih penting lagi penubuhan lembaga ini akan membenarkan Kerajaan Negeri meningkatkan kawalan pencemaran dan perlindungan sumber air melalui mekanisme seperti pelesenan ke atas pengusaha, pengendali atau pemilik yang menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan sumber air seperti pengabstrakan air.
“Selain itu, pengenaan caj ke atas pelepasan bahan pencemar juga dapat diperkenalkan bagi membantu mengawal kualiti sumber air di samping menjadi sumber hasil kepada Kerajaan Negeri.
“Apabila caj ini diwujudkan, ia secara langsung akan meningkatkan kualiti kebersihan air yang dilepaskan ke dalam sumber air sebab kalau kita dapati tercemar maka denda, penalti akan dikenakan.
“Kerajaan Negeri kini dalam proses semakan akhir Enakmen Sumber Air dan Rang Undang-undang bagi tujuan ini dan disasarkan akan dibentangkan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada Mei 2025,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN