Lulus geran bantuan RM300,000, bantu koperasi kekal daya maju

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan geran bantuan berjumlah RM300,000 kepada koperasi-koperasi yang layak di negeri ini di bawah inisiatif ‘PENANG2030 Coop Grant’.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa geran bantuan tersebut bertujuan membantu koperasi khususnya koperasi asas untuk menjalankan perniagaan sekaligus kekal berdaya maju.

Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

“Geran ini bakal diuruskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pulau Pinang selaku urus setia yang akan memproses permohonan bantuan tersebut.

“Koperasi yang layak memohon geran bantuan ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti berdaftar di negeri Pulau Pinang, tiada tunggakan akaun teraudit, mengadakan mesyuarat agung tahunan serta mempunyai projek ekonomi berdaya maju.

“Selain itu, geran bantuan yang dipohon adalah maksimum sebanyak RM15,000 bergantung kepada jenis projek atau perniagaan yang dijalankan.

“Skop geran pula adalah termasuk pembangunan infrastruktur, mesin serta modal pusingan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran PENANG2030 Coop Grant dekat Komtar, di sini pagi ini.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh serta Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Pulau Pinang, Nazrulizam Kamaruddin.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berharap agar inisiatif tersebut dapat memberi manfaat kepada gerakan koperasi sekaligus memperkasakan komuniti serta meningkatkan lagi ekonomi rakyat Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang dalam memperkasakan lagi agenda koperasi di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zakaria dalam ucapannya sebelum itu memaklumkan bahawa sebanyak 746 koperasi telah didaftarkan di negeri ini dengan jumlah keanggotaan seramai 172,000.

Zakaria Mat Jusoh.

Tambahnya, jumlah pendapatan yang dicatatkan oleh gerakan koperasi di Pulau Pinang pula adalah berjumlah RM162.6 juta pada tahun 2020 iaitu berkurangan sebanyak 56 peratus berbanding RM289 juta pada tahun sebelumnya.

“Pengurangan jumlah pendapatan ini adalah disebabkan penularan COVID-19 yang mana kebanyakan koperasi tidak dapat menjalankan aktiviti tahunan yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Jelasnya lagi, sebanyak 30 peratus koperasi di Pulau Pinang dikategorikan sebagai tidak aktif dan dorman kerana tidak menjalankan aktiviti selain kekurangan anggota serta modal untuk menjalankan perniagaan.

“Walau bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Koperasi tetap komited untuk terus membantu gerakan koperasi di negeri ini melalui kempen bagi meningkatkan jumlah keanggotaan,” ujarnya lagi.

Bagi tujuan itu katanya, Suruhanjaya Koperasi telah menubuhkan Koperasi Rakyat Pulau Pinang Berhad (KOPIN) dengan menyasarkan seramai 500,000 orang berdaftar sebagai anggota koperasi menjelang akhir tahun 2022.

“Sasaran ini ditetapkan supaya pengumpulan dana lebih kukuh dapat dicapai bagi melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada anggota serta meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat di negeri ini,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD