Lulus RM500,000 untuk selenggara skim perumahan awam Taman Free School

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan kelulusan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja menaik taraf skim perumahan awam Taman Free School bagi tahun 2021 di sini.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media selepas menyampaikan sumbangan bungkusan makanan kepada warga emas di skim perumahan tersebut pagi ini.

“Peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Belanja Pembangunan P01 bagi Tahun 2021 adalah sebanyak RM7 juta melibatkan 40 perolehan kerja di 15 skim Perumahan Awam Kerajaan Negeri.

“Beberapa kerja-kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (LMNPP) antaranya menaik taraf tempat sampah pukal yang rosak serta penggantian bumbung dewan awam.

“Selain itu, kerja-kerja mengganti paip air retikulasi yang lama dan reput, penggantian pintu utiliti serta pintu sampah yang rosak turut akan dijalankan,” ujar Jagdeep.

Hadir sama pada program tersebut adalah Pengurus Besar LMNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Ketua Pegawai Bisnes LMNPP, Fakhrurrazi Ibnu Omar.

Pada sidang media sama, Jagdeep memberitahu bahawa sejak 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang juga telah membelanjakan sejumlah RM267 juta bagi penyelenggaran skim perumahan awam dan swasta di negeri ini.
“Apa yang penting, di Pulau Pinang kita (Kerajaan Negeri) nak bantu semua skim perumahan awam dan swasta yang layak supaya diberi keutamaan selain daripada menyediakan bekalan perumahan mencukupi.

“Dalam menyediakan perumahan mampu milik pula, kita berada di landasan tepat iaitu sudah menyediakan 114,000 unit kini untuk memenuhi sasaran 220,000 menjelang tahun 2030,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD