MAFIT 2024 rai 500 amil zakat fitrah lantikan MAINPP

Admin
bel 0376

SEBERANG JAYA – Seramai 500 orang amil zakat fitrah yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) diraikan dalam Majlis Anugerah Amil Fitrah (MAFIT) yang berlangsung dekat sini semalam.

Dalam majlis sama, seramai 17 amil zakat fitrah yang menunjukkan prestasi cemerlang telah dipilih oleh Bank Islam Malaysia Berhad sebagai pemenang dalam Anugerah Kutipan Zakat Fitrah 2024.

Pemenang pertama menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan 16 orang lagi menerima saguhati berjumlah RM1,000 setiap seorang.

bel 0344bel 0325bel 0312bel 0310

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid berkata majlis tersebut dianjurkan khusus untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan para amil zakat fitrah yang mempamerkan kesungguhan dan kecemerlangan dalam menguruskan kutipan Zakat Fitrah pada tahun 1445H/2024M.

“Zakat Pulau Pinang berbesar hati memberikan anugerah kepada pusat kutipan dan individu yang mencatatkan prestasi cemerlang bagi kutipan zakat fitrah bagi tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Amran Hazali; Ahli Majlis MAINPP, Prof. emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin dan Dato’ Maktar Shafee; Naib Presiden Kanan (EChannels) Bank Islam Malaysia Berhad, Nur Fathmawati Zakaria serta ramai lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Yang diPertua MAINPP memberitahu bahawa sebanyak RM7.34 juta zakat fitrah berjaya dikutip pada tahun 2023, meningkat 7.19 peratus berbanding RM6.84 juta pada tahun sebelumnya.

“Antara faktor peningkatan kutipan zakat fitrah ini sudah semestinya kerana kecemerlangan, kewibawaan serta integriti para amil fitrah yang telah di negeri ini.

“Selain itu, kutipan juga meningkat berikutan keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang menetapkan tiga kategori bayaran zakat fitnah bagi tahun 2023 iaitu RM7, RM14 dan RM21, berbanding RM7, RM13 dan RM20 pada tahun 2022,” jelasnya sambil menambah bahawa pertambahan penduduk turut menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Mohamad berkata, lebih membanggakan lagi apabila Pulau Pinang mencatatkan jumlah kutipan zakat fitrah tertinggi melalui kaedah pembayaran tanpa tunai (QR Pay).

“Kita memang mengalakkan bayaran zakat fitrah dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai (QR Pay),” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS