Magneti Marelli jangka kilang baru sumbang 15 peratus

Oleh: MARK JAMES


BATU KAWAN – Magneti Marelli menjangkakan kilang lampu automotif yang baru dibuka di sini menyumbang 15 peratus pada pertumbuhan jualan tiap-tiap tahun dalam tempoh lima tahun.

Pengurus Besar Automotive Lighting Malaysia bagi China dan Asia Tenggara, Sylvain Dubois berkata, syarikat antarabangsa dari Itali itu menjangkakan pertumbuhan jualan bagi perniagaan lampu di negara ini turut meningkat sebanyak RM574 juta pada tahun 2017 berbanding RM365 juta tahun ini.

“Kami merancang berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang. Kilang baru ini lebih besar berbanding yang sebelumnya (di Bayan Lepas).

“Kami masih ada ruang untuk berkembang dan justeru itu, boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran,” katanya di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri menyempurnakan majlis perasmian pembukaan kilang baru tersebut.

Dubois berkata, pasaran ASEAN menjadi semakin penting, kedua-duanya dari segi dimensi dalaman dan sebagai hab pengeluaran dan syarikat mensasarkan keseluruhan benua Asia.

Malah, katanya lagi, syarikat itu turut berusaha mengembangkan perniagaannya di Indonesia.

“Pengukuhan operasi perindustrian lampu automotif Magneti Marelli di Malaysia adalah bertujuan memenuhi keperluan pelanggan yang tinggal di rantau ASEAN dan pasaran Jepun,” katanya.

Guan Eng pula semasa berucap melahirkan rasa gembira kerana Taman Perindustrian Batu Kawan di sini terus menjadi destinasi pilihan Magneti Marelli.

“Kami berasa gembira satu lagi syarikat bertaraf antarabangsa seperti ALMY (Automotive Lighting Malaysia Sdn. Bhd.) telah memilih Batu Kawan untuk tapak perusahaan baru.

“(Langkah ALMY itu) membuktikan bahawa Batu Kawan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pilihan utama untuk pusat operasi syarikat-syarikat antarabangsa,” ujar Guan Eng.

Difahamkan, kilang baru itu diuruskan oleh anak syarikat milik penuh Magneti Marelli, iaitu ALMY.

Bagi Guan Eng, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat daripada 1.7 juta unit lampu setahun kepada 2.2 juta komponen, dengan potensi peningkatan sehingga 2.9 juta unit.

Kilang ALMY itu akan mengeluarkan lampu depan, lampu belakang dan lampu kabus, serta penyelesaian teknologi berasaskan LED.

Pengeluaran itu disasarkan kepada pengeluar kereta Jepun (Honda, Mazda dan Suzuki) dan pengeluar kereta milik rantau ASEAN, iaitu Proton dan Perodua di Malaysia, Ford dan GM di Thailand dan Indonesia.