Mahir CPR & AED ‘fardu kifayah’, memperkasa lagi komuniti – TKM I

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam ucapannya menjelaskan peri penting fardhu kifayah dalam memperkasakan komuniti lokal peringkat kariah masjid di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Jawi pada 17 Oktober 2022.

JAWI – Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) menggunakan mesin Automated External Defibrillator (AED) yang ditingkatkan di masjid-masjid seluruh negeri Pulau Pinang akan memperkasa lagi komuniti lokal di kariah masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata demikian semasa berucap dalam Jelajah CPR & AED Kariah Masjid-Masjid Pulau Pinang yang menutup tirai acara jerayawara di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini pada 17 Oktober 2022.

“Masyarakat perlu tahu teknik yang betul dalam melakukan CPR dengan bantuan peralatan AED ini.

“Pengetahuan ini juga adalah ‘fardu kifayah’, yang mana selain menyelamatkan nyawa, ia (program melatih anak-anak kariah melakukan teknik CPR dengan alat bantuan AED) juga dapat memperkasakan lagi komuniti setempat,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta Persatuan Pemulihan Jantung Pulau Pinang (PHSS) yang turut terlibat dalam menjayakan program jerayawara tersebut.

SIRI amali CPR dan AED yang melibatkan anak kariah tempatan tadi.

Presiden PHSS, Dato’ Dr. Luah Lean Wah yang berucap sebelum itu pula memberitahu bahawa kelewatan setiap minit dalam memulakan CPR akan meningkatkan kadar kematian sebanyak 10 peratus.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD