GEORGE TOWN – Putrajaya digesa mempertimbang cadangan untuk mewujudkan Mahkamah Keluarga walaupun telah ada pelbagai undang-undang berkaitan, demi mempercepat lagi proses pembelaan terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata demikian selepas mengadakan perbincangan tertutup dengan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu keganasan rumah tangga yang direkodkan di negeri ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan RM20,000 sumbangan Kerajaan Negeri kepada Women Centre for Change (WCC); RM15,000 kepada Home Dynamics dan RM10,000 masing-masing kepada Persatuan Kebajikan Sneham Malaysia dan Young Women’s Christian Association (YWCA).
“Pada 24 April 2020 (iaitu ketika PKP), Kerajaan Negeri telah mengumumkan sokongan kita kepada NGO yang menyediakan khidmat bantuan dan sistem sokongan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, dengan peruntukan (keseluruhan) sebanyak RM100,000.
“Ketika pandemik COVID-19 dan PKP, kita (Kerajaan Negeri) mendapati begitu banyak isu dan laporan berita mengenai peningkatan kes keganasan rumah tangga.
“(Pendekatan kaunseling) dilakukan untuk mengubah tabiat mereka (yang melakukan keganasan rumah tangga), tetapi selepas itu, mereka (pemangsa) melakukan lagi keganasan ke atas anggota keluarga.
“Mahkamah Keluarga diperlukan untuk menangani permasalahan ini sebagai satu lagi sistem sokongan yang mendamaikan.
“Telah lama kita bercakap mengenai keperluan pada Mahkamah Keluarga ini…justeru, saya fikir Kerajaan Persekutuan seharusnya ada tindakan yang lebih serius,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dekat Komtar pada 25 Ogos 2020.
ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid turut menyertai perbicangan tertutup berkenaan.
Sebelum pada itu, Pengarah Program WCC, Karen Lai Yu Lee memberitahu bahawa 80 peratus aduan berkaitan keganasan rumah tangga yang diterima sejak pelaksanaan PKP baru-baru ini adalah melibatkan wanita.
Justeru, menurutnya, sistem sokongan sedia ada untuk melindungai wanita dan anak-anak daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga wajar diperluas dengan penglibatan NGO, Kerajaan Negeri hatta Kerajaan Persekutuan.
“Sejak Januari hingga Jun 2020, kami telah menerima panggilan daripada kira-kira 600 pengadu (dari seluruh negara), kebanyakannya adalah mereka yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga…(mangsa) dalam lingkunga umur 30 hingga 39 tahun,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut memberi respons kepada cadangan Chong Eng supaya Putrajaya mempertimbangkan untuk mewujudkan ‘Mahkamah Keluarga’.
“Mahkamah Sivil memang telah ada seksyen khas untuk (tuntutan) penceraian dan sebagainya, (namun) apa yang saya nak katakan bahawa kes-kes keganasan rumah tangga agak rumit kerana melibatkan dinamik keluarga dan ini sesuatu yang seharusnya dipertimbangkan oleh mahkamah apabila membuat sebarang keputusan.
“Kalau kita nak tengok (perbicaraan) kes keluarga, kita perlu melihat pendekatan menyeluruh kes keluarga, kadang-kadang ada banyak faktor yang mempengaruhi keganasan (rumahtangga) berlaku.
“Kadang-kadang kita berfikir seseorang itu masuk penjara, mangsa telah mendapat keadilan dan masalah (keganasan rumah tangga) telah selesai, tapi sedih kerana yang masuk penjara itu bukan penjenayah sebenarnya tetapi adalah seorang (bergelar) bapa,” jelasnya sambil memberitu bahawa pelbagai aspek perlu diteliti berhubung cadangan mewujudkan ‘Mahkamah keluarga’.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Sneham Malaysia, Datuk Dr. Florance Sinniah turut memberi respons pada syor Chong Eng agar Putrajaya mewujudkan Mahkamah Keluarga.
“(Cadagan Chong Eng) itu adalah cadangan yang baik, sekarang ini apabila ada kes keganasan rumah tangga, kita anggap ia adalah isu jenayah.
“Pastikan, kalau wanita yang menjadi mangsa itu dipukul oleh suaminya, (pemangsa) mendapat hukuman.
“Sebagai NGO yang mempromosi kesihatan mental, mesti ada sebab terjadinya keganasan rumah tangga, kita akan cuba menyelamatkan rumah tangga (yang terlibat dalam keganasan rumah tangga) termasuk lah tuntutan cerai dan selepas itu kena ada sempadan seperti tidak boleh lagi diganggu bekas isteri.
“Jadi, sekarang ini, semua itu seakan-akan tiada…ada langkah-langkah kaunseling untuk menyelamatkan institusi kekeluargaan belum begitu meluas lagi walaupun JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) telah cuba sehabis baik dalam menangani kes keganasan rumah tangga,” jelasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD