MULAI tahun 2025, Malaysia berhasrat mengeluarkan varieti padi toleran atau tahan air masin sebagai usaha meningkatkan hasil beras domestik serta mengukuhkan lagi keterjaminan makanan negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) baru-baru ini menyatakan bahawa sekumpulan saintis dari Republik Rakyat China akan turut dilibatkan dalam usaha mengeluarkan padi varieti baharu tersebut secara komersil mulai tahun hadapan.
Memetik sumber laporan berita arus perdana, pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut serta akan mengetuai usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Melalui inisiatif baharu tersebut, menurut sumber berita sama, mungkin akan dapat menangani kawasan sawah yang diancam limpahan air masin semasa fenomena ombak besar di sepanjang pesisir pantai seperti Kampung Padang Garam dekat Alor Setar, Kedah; juga di Kuala Kurau dekat Parit Buntar, Perak serta sepanjang Sungai Golok, Kelantan.
Mengulas lanjut, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim memberitahu bahawa di negeri ini juga terdapat kawasan sawah padi yang diancam limpahan air masin kerana berada di kawasan pesisir pantai dan pinggir laut.
Antara kawasan yang dimaksudkan, menurutnya, adalah kawasan sawah seluas hampir 11 hektar di Pasir Gebu dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU); juga Sungai Udang dan Tok Tuntong dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
“Risiko air masin melimpah masuk ke kawasan-kawasan pertanian terutamanya sawah padi yang saya sebutkan ini, ada.
“Tetapi, di kawasan-kawasan sawah padi yang lain, sistem pengairan dan saliran yang sedia ada boleh dikatakan antara yang terbaik (di negara ini),” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di Kompleks Pejabat Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dekat Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam di sini pada 17 April 2024.
Selari dengan hasrat KPKM, Mohd. Muhaimin berkata Jabatan Pertanian Negeri turut berharap dilibatkan sama dalam rancangan pengeluaran varieti padi toleran atau tahan air masin negara.
“Bagi kami (Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang), adalah suatu kelebihan jika sekiranya MARDI Bumbung Lima dijadikan sebagai salah satu hab pengeluaran varieti padi toleran atau tahan air masin; kerana di Pulau Pinang juga ada beberapa kawasan memang diancam limpahan air masin dan sebagainya.
“Lagipun, pusat penyelidikan padi negara – peringkat kebangsaan – berada di MARDI dekat Bumbung Lima.
“Justeru, saya percaya kalau kajian lanjutan (MARDI) dapat dibuat di Pulau Pinang, itu adalah lebih baik sebab pusat penyelidikan padi negara memang ada di negeri ini.
“(Dan) dengan adanya kawasan padi di negeri Pulau Pinang juga ada terdedah pada limpahan air masin, elok kajian lanjutan MARDI dan KPKM dibuat di sini,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol serta agensi berkaitan juga berminat dengan insiatif pengeluaran varieti padi toleran atau tahan air masin yang sedang diusahakan pada peringkat KPKM.
“Macam Jabatan Pertanian Negeri ini di bawah Kerajaan Negeri, alhamdulillah kita mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi persekutuan seperti MARDI, IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu), FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan sebagainya.
“Kerjasama Jabatan Pertanian Negeri dengan pelbagai agensi negeri dan persekutuan berkaitan – di bawah portfolio Exco (Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi) – saya lihat adalah sangat baik,” katanya sambil memberitahu bahawa kolaborasi antara agensi persekutuan dan negeri adalah baik sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi.
Bercerita lanjut, Mohd. Muhaimin memberitahu bahawa buat masa ini KPKM melalui MARDI memang belum mengagihkan benih varieti padi toleran atau tahan air masin untuk negeri Pulau Pinang.
“Buat masa ini Pulau Pinang masih belum menerima benih varieti padi toleran atau tahan air masin lagi, ia bergantung pada KPKM dan MARDI sendiri.
“Jabatan Pertanian Negeri mempunyai mandat untuk mengagihkan segala bentuk bantuan pertanian termasuk varieti baharu padi ini nanti, jika telah dibekalkan kepada kita; di samping merancang program pengembangan dan latihan untuk meningkatkan hasil pertanian yang pelbagai di negeri ini,” jelasnya lagi.
Tanah Jerlus
Terlanjur berbicara mengenai usaha meningkatkan hasil padi negeri, Mohd. Muhaimin turut menjelaskan mengenai usaha peringkat Jabatan Pertanian Negeri bagi menangani isu tanah jerlus di kawasan penanaman padi dekat sekitar SPS.
Jelasnya, tanah jerlus ini terjadi disebabkan taburan hujan yang tinggi serta mengakibatkan kandungan air dalam tanah sawah juga tinggi, hatta menyukarkan aktiviti ‘menyerak’ benih padi pada awal musim penanaman.
“Bukan sahaja di Pulau Pinang, saya percaya, isu tanah jerlus ini terjadi di negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia.
“Apabila tanah sawah itu dikerjakan sepanjang musim, tidak ada masa ‘rehat’ (iaitu tempoh waktu untuk merawat serta mengukuhkan teras tanah), sudah tentu kandungan teras (hard pant) di bawah tanah sawah tersebut mengalami kerosakan.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk membantu sepenuhnya… di Sungai Acheh, SPS, alhamdulillah kita bersama-sama IADA telah selesaikan (isu tanah jerlus) dengan membina ‘parit gila’ (iaitu parit jejari atau parit ladang untuk percepatkan proses mengeluarkan air mendapan dalam tanah dari petak sawah).
”Begitu juga kawasan-kawasan sawah yang dikenal pasti berlaku rendaman air dalam tanah dalam suatu tempoh yang lama, kita (Jabatan Pertanian Negeri) korek dan tambun semula dengan tanah bukit untuk tujuan mengukuhkan kandungan teras tanah pertanian tersebut, dan ratakan balik dengan tanah asal sawah itu.
“Sepatutnya petani perlu merawat tanah jerlus dengan kos mereka sendiri, tetapi seperti yang saya selalu sebutkan, Y.A.B Ketua Menteri (Kon Yeow) dan Exco (Fahmi) cakna dengan isu pertanian negeri, jadi kita (Jabatan Pertanian Negeri) sendiri membantu menangani isu tanah jerlus ini,” tambahnya sambil memberitahu bahawa isu tersebut telah ditangani sebelum musim pengairan yang dijadualkan bermula pada 15 April 2024.
Serangan Makhluk Perosak
Selain itu tanah jerlus, Mohd. Muhaimin memberitahu bahawa pihaknya turut berusaha mengurangkan risiko serangan makhluk perosak dengan menggalakkan aktiviti pertanian secara seragam sempena musim pengairan kini.
“Kita (Jabatan Pertanian Negeri) nak selesaikan 100 peratus masalah yang dihadapi petani mungkin tidak mampu kerana melibatkan kos yang begitu banyak, tetapi, macam di Kampung Terus, Penanti, isu jadual penanaman (yang tak seragam) kita cuba seragamkan pada musim pengairan kali ini.
“Kumpulan Pengguna Air (KPA) telah kita temui, begitu juga Jawatankuasa Penetapan Jadual Air (JPTA); kita telah maklumkan supaya petani-petani tanam mengikut jadual (pengairan) kerana kita tidak mahu kitaran makhluk perosak itu tidak dapat dihentikan lagi.
“Kalau penanaman dapat diseragamkan, proses tuaian juga diseragamkan, kitaran makhluk perosak memang boleh dihentikan secara lebih berkesan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana membangkitkan isu berkaitan sebelum ini.
Impak Cuaca Panas
Dari segi lain, Mohd. Muhaimin memberitahu bahawa pihaknya mengikuti Pelan Kontigensi Air Negeri yang diumumkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ekoran perubahan cuaca yang kian panas serta kering; kerana sektor pertanian negeri bergantung pada sumber air juga.
Dalam nada sederhana, beliau berkata sektor pertanian negeri Pulau Pinang sebenarnya memang ada pengalaman menghadapi El-Nino pada tahun 2014 atau 2015, serta semasa kemarau panjang 2019.
“Suatu ketika dahulu kita pernah melalui saat kemarau panjang seperti ini, perkara yang pernah dibuat oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri sebelum ini adalah membekalkan 40 unit pam yang mana akan digunakan bagi menangi isu banjir atau gangguan bekalan air pengairan ke kawasan pertanian.
“Pada tahun 2019 umpamanya, selepas perbincangan dengan melibatkan pesawah-pesawah sendiri, kita (Jabatan Pertanian Negeri) pernah mengepam masuk air ke dalam parit saliran, kita tutup hilir parit supaya air yang mengalir boleh dikawal secara kitar semula,” katanya lagi.
Tidak sekadar itu sahaja, Kerajaan Negeri pada tahun 2020 turut memperuntukkan kira-kira RM600,000 untuk pembinaan infrastruktur berkaitan – seperti projek Deep Tubewell yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri – di Daerah SPU bagi mendepani risiko gangguan bekalan air ke kawasan-kawasan pertanian negeri di sana.
“Sebagai penjawat awam, saya melihat selain wujud hubungan yang sangat baik antara agensi negeri dan agensi Persekutuan, pentadbiran Ketua Menteri sendiri sangat memandang penting usaha meningkatkan hasil pertanian negeri sungguhpun Pulau Pinang dikenali sebagai ‘negeri perindustrian’,” jelasnya lagi.
Mohd. Muhaimin memberitahu dengan hubungan yang baik antara agensi negeri dan persekutuan, setakat ini Jawatankuasa Bertindak Keladi Agas dan Jawatankuasa Bertindak Tanah Jerlus telah ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri oleh Fahmi Zainol bagi mencegah risiko serangan mahkluk perosak.
Peladangan Bawang
Dalam perkembangan lain, Mohd. Muhaimin turut berkongsi perancangan Jabatan Pertanian Negeri dalam melaksanakan program pengembangan dan latihan berkaitan pertanian bawang bagi meningkatkan hasil komoditi itu kelak.
“Sepatutnya pada tahun hadapan, projek peladangan bawang ini dimulakan, tetapi kita telah mulakan baru-baru ini dengan melibatkan 1 hektar tanah di Ara Kuda (dekat SPU).
“Kita semai benih sebelum puasa (Ramadan baru-baru ini), manakala semalam dan hari ini kita telah mula membuat penanaman (bawang).
“Dalam tempoh lebih kurang tiga bulan dari sekarang, insyaAllah boleh dituai hasil (ladang bawang ini)… dengan potensi hasil per hektar adalah 6 tan (semusim).
“Selain meningkatkan hasil padi domestik, hasil pengeluaran bawang juga perlu ditingkatkan kerana sektor pertanian negeri ini adalah pelbagai.
“Sekalian penjawat awam dalam Jabatan Pertanian mesti senantiasa berada ‘dalam kasut’ petani-petani negeri, baru kita dapat maklum balas mengenai cabaran semasa yang dihadapi oleh mereka.
“Sementara, Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta agensi-agensi berkaitan pula mesti melakukan campur tangan dalam pelbagai bentuk bantuan pertanian secara tidak langsung bagi mengukuhkan keterjaminan makanan negara yang diperlukan rakyat.
“Kita boleh melihat ROI (pulangan hasil pelaburan), jika menyalurkan bantuan kepada para petani adalah lebih berbaloi dan murah berbanding mengimport komoditi luar negara, adalah wajar program bantuan berkaitan terus disalurkan melalui Jabatan Pertanian Negeri dan agensi-agensi berkaitan kerajaan yang lain.
Harapan
Mengakhiri bicara wara, Mohd. Muhaimin berkata sekalian kakitangan kerajaan terutama di Jabatan Pertanian Negeri dan para pemegang taruh dalam sektor pertanian negeri sebenarnya berbangga apabila sebanyak 5.224 matrik tan per hektar pengeluaran hasil padi pada musim utama 2022/2023 secara pukal di negeri Pulau Pinang direkodkan sebagai hasil tertinggi dalam negara, sungguhpun meliputi keluasan bertanam 12,105 hektar pada tahun ini.
“Komitmen Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang adalah mengoptimumkan hasil pengeluaran padi domestik, hasil per hektar sebenarnya boleh sampai 10 (tan metrik).
“Buat masa ini, kita menyasarkan hasil per hektar hanya 7 tan metrik secara purata.
“Saya berpendapat, kalau kemampuan untuk mengeluarkan benih padi (di negeri Pulau Pinang mampu) sampai 10 hingga 11 tan atau 12 tan metrik per hektar; jadi, kalau pengeluaran benih boleh buat, pasti pengeluaran hasil beras pun boleh buat.
“Pada masa hadapan, Kerajaan Negeri mungkin boleh berusaha mencari tanah baharu seluas kira-kira 500 ekar untuk dijadikan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) memandangkan tanah TKPM sedia ada di Ara Kuda ketika ini adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan dan PERDA (Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang), yang mana Jabatan Pertanian Negeri hanya berperanan sebagai ‘orang tengah’ antara pemilik tanah dan petani yang mengusahakan tanah tersebut,” syor beliau sambil berkata Jabatan Pertanian Negeri senantiasa komited dalam meningkatkan hasil pertanian negeri serta mengukuhkan keterjaminan makanan negara di Pulau Pinang.
END