GEORGE TOWN – Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berhasrat untuk menggerakkan sektor pertanian negeri ini ke arah digitalisasi.
Untuk itu kata Fahmi, pihaknya telah menghantar satu kertas kerja berkaitan inisiatif ke arah pendigitalan bernilai RM2.6juta (kos projek) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Sekarang pertanian perlu bergerak cepat dan ke hadapan dalam berdepan isu-isu berkaitan keterjaminan makanan dan penghasilannya.
“Jadi proses digitalisasi perlu digerakkan segera bersama dengan semua pihak berwajib dalam menjayakannya termasuk meningkatkan hasil dalam era pertanian moden ini.
“Kalau dahulu petani pegang cangkul tetapi dengan data dan teknologi yang ada kini, petani pegang telefon sahaja untuk keberhasilan dan keuntungan yang lebih menyeluruh,” ujar Fahmi ketika mengadakan kunjungan hormat ke Bahagian Penerangan Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 47 di sini pagi tadi.
Bahagian Penerangan diwakili oleh Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri/Setiausaha Akhbar Kepada Y.A.B. Ketua Menteri Yap Lee Ying.
Mengulas lanjut, Fahmi berharap dengan pendigitalan itu turut mampu untuk menarik minat petani-petani muda berkecimpung dalam bidang tersebut.
Fahmi dalam pada itu turut bertukar-tukar pandangan dalam menambah baik hubungan pejabatanya bersama-sama pihak media khususnya Buletin Mutiara sebagai media rasmi Kerajaan Negeri.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING