GEORGE TOWN – Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif diumumkan sebagai salah seorang daripada tiga pemenang anugerah, International Council Local Environmental Initiatives (ICLEI) South East Asia Regional Executive Committee (RexCom) Election pada 27 November lalu.
Seramai enam wakil meliputi penyertaan dari Indonesia, Malaysia dan Filipina mengambil bahagian dalam pemilihan berprestij berkaitan.
Maimunah pada majlis sidang media menjelaskan bahawa di bawah ICLEI RexCom, beberapa tanggungjawab perlu dipikul beliau dalam memastikan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di Asia Tenggara bertambah baik.
“Antara peranan yang bakal dipikul adalah mewakili Asia Tenggara ke mesyuarat serta persidangan, menjadi Duta ICLEI Asia Tenggara, merapatkan koordinasi ICLEI, berunding dengan ahli persatuan ICLEI dalam apa jua keadaan, menggalakkan organisasi mengambil bahagian dalam penganjuran program, memberi sokongan kepada pengumpulan dana oleh Asia Sekretariat ICLEI, melantik ahli tambahan bagi ICLEI, mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat tahunan dan menghantar laporan mesyuarat,” jelasnya di sini baru-baru ini.
Turut meraikan kecemerlangan beliau adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dato’ Patahiyah Ismail, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.
ICEI adalah badan dunia yang memberi tunjuk ajar kepada bandar-bandar dan kerajaan tempatan (KT) dalam membentuk pembangunan mampan. Malah, ia juga berperanan menggalakkan KT menjadi PBT berdaya tahan, menguruskan sumber dengan cekap, kepelbagaian biologi, melaksanakan low carbon untuk pembinaan struktur pintar dan ke arah bandar hijau dengan membantu melahirkan masyarakat yang sihat serta bahagia.
Tambah Maimunah, selain menjadi wakil RexCom, beliau kini dalam proses menunggu keputusan berhubung pencalonan sebagai ahli jawatankuasa Global Executive Committee (GexCom) yang mana pemilihan tersebut hanya untuk satu jawatan daripada tiga dipertandingkan.
Sementara itu, pada sidang media sama, Guan Eng mengumumkan bahawa mee segera keluaran negeri Pulau Pinang, MyKuali Penang’s White Curry Noodle berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai mee segera paling sedap bagi tahun 2014.
Jelas beliau, pengiktirafan tersebut adalah dari laman blog, The Ramen Rater (www.theramenrate.com) milik warganegara Amerika Syarikat.
“Dalam blog tersebut, penulis menyatakan bahawa mee ini mempunyai rasa kari yang hebat dan sedap untuk dimakan. Meenya juga tidak begitu tebal dan nipis untuk kunyahan yang selesa.
“Pengiktirafan ini sememangnya sungguh bermakna kepada Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan syurga makanan apabila kemenangan tersebut berjaya mengalahkan 1,365 mee segera lain dari seluruh dunia,” ujar Guan Eng.