MAINPP cari solusi harmoni selesai konflik pemaju dan penduduk Taman Wakaf Seete Aisah

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menegaskan bahawa pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih harmoni antara pemaju dan juga penduduk di Taman Wakaf Seete Aisah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim dalam Sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

“Berdasarkan rekod MAINPP, laluan keluar masuk dari kondominium Green View Seberang Jaya ke Taman Wakaf Seetee Aisah merupakan tanah wakaf dan tidak digazetkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 5/2013 yang tidak meluluskan cadangan penyerahan kawasan awam kepada mana-mana pihak kerana tanah wakaf tidak boleh dipindah milik.

“Justeru, pada 20 Januari 2014 pihak MAINPP telah mengeluarkan surat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai persetujuan keizinan jalan tersebut digunakan oleh orang awam bagi tujuan pendaftaran melalui Malaysian Road Records Information System (MARRIS) bagi mendapatkan peruntukan penyelenggaraan tahunan dari Kerajaan Persekutuan kepada pihak JKR,” jelasnya yang juga ADUN Batu Maung.

Tambah Mohamad, bagi memastikan penduduk tidak mengalami sebarang gangguan, pihak MAINPP membenarkan pemaju menyediakan laluan sementara di Taman Wakaf Setee Aisah.

“Semasa kerja pembinaan dijalankan, pihak MAINPP telah menurunkan tandatangan bagi membenarkan pemaju menggunakan tanah lot 200 untuk tujuan laluan sementara.

“Walaupun terdapat bantahan daripada penduduk, MAINPP mengambil tindakan lanjut dengan mengemukakan bantahan kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang namun perayu gagal menghadiri sebutan kes pada 12 Januari 2017.

“Selain itu, timbul juga aduan daripada persatuan penduduk sekali lagi diterima, lalu saya sendiri telah turun padang ke kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan jalan tersebut, justeru pihak MAINPP akan mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (MBSP) bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih harmoni di antara pemaju dan penduduk,” ulasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT