JAWI – Agenda pemerkasaan Bumiputera termasuk berkaitan keperluan usahawan Melayu di Pulau Pinang akan terus diusahakan menerusi 10 agensi berkaitan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang di-Pertua MAINPP memberitahu perkara itu semasa merasmikan Boothcamp Usahawan Bumiputera Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort di sini pada 16 Ogos 2024.
“Tugas saya yang pertama adalah memacu pembangunan agama Islam ini supaya selari dengan Visi Penang2030 (dengan) menstrukturkan semula urus tadbir MAINPP serta agensi-agensi di bawahnya.
“Satu lagi objek utama (penubuhan MAINPP sejak 1959) adalah pembangunan sosial ekonomi umat Islam dan Bumiputera Islam di negeri Pulau Pinang, itu adalah antara agenda yang diletakkan oleh pemimpin-pemimpin kita terdahulu,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, Kerajaan Negeri memerlukan sokongan yang tak berbelah bahagi daripada komuniti Melayu bagi memanfaatkan ‘kuasa politik’ yang ada bagi memperkasakan semula sosioekonomi Bumiputera termasuk usahawan Muslim di negeri Pulau Pinang.
Selain Penang Halal International, beliau berkata agenda pemerkasaan Bumiputera dan usahawan Melayu akan digerakkan menerusi agensi-agensi lain di bawah MAINPP seperti Zakat Pulau Pinang (ZPP), Wakaf Pulau Pinang (WPP), Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Penang Halal International merakamkan penghargaan atas kolaborasi pelbagai pihak termasuk Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang di bawah Unit Penyelarasan Pelaksana Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Dr. Shaharuddin Shah Mohd. Noor dalam menganjurkan ‘khemah tubi’ selama tiga hari dua malam di sini bermula petang tadi.
Berucap sebelum itu, Shaharuddin Shah berharap 146 peserta perkhemahan tiga hari dua malam di sini dapat menambah senarai 4,251 orang usahawan Bumiputera yang berjaya dalam rekod Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang ICU JPM.
“(Boothcamp Usahawan Bumiputera Pulau Pinang) ini adalah suatu usaha strategik yang kita sedang jajarkan semula di negeri Pulau Pinang (sebagai) suatu inisiatif strategik di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030,” ujarnya sambil mengharapkan usaha kolaborasi antara agensi negeri dan persekutuan seumpama ini dapat terus dilaksanakan pada masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Roslan Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International Sdn. Bhd., Azraie Ramli; dan wakil Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS