GEORGE TOWN – Majlis Guru Kaunseling Negeri Pulau Pinang (MGKNPP) menyatakan sokongan terhadap visi Penang2030 yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow.
Sokongan itu disuarakan sendiri oleh delegasi MGKNPP pada pertemuan di Pejabat Ketua Menteri dekat Komtar, lewat petang ini.
Delegasi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Kemanusia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Raja Shamsuddin Raja Salleh itu, hadir bersama-sama lapan Pegawai Kaunselor dari Pejabat Pendidikan Daerah dan Jawatankuasa MGKNPP.
Pertemuan selama 30 minit itu diisi dengan sesi taklimat eksekutif yang disampaikan oleh Yang diPertua MGKNPP, Khairul Nidzar Mohd. Zaki, antara lain menerangkan mengenai peranan, fungsi dan hala tuju majlis berkaitan.
Turut dibincangkan adalah lima program teras yang bakal berlangsung tahun ini iaitu :
a. Simposium Generasi Remaja Harmoni pada 17 Julai 2019 di UiTM Pulau Pinang;
b. Kursus Kepimpinan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Rendah dan Menengah (23-24 Julai 2019 di Sik, Kedah);
c. Konvensyen Kelestarian Keluarga Harmoni (29 September 2019 di Seberang Perai);
d. Karnival Pendidikan dan Kerjaya (28-29 Ogos 2019 di Kompleks Tabung Haji) dan
e. Seminar Amalan Terbaik Kaunseling (28 – 31 Oktober 2019 di Bandung, Indonesia).
Menurut Khairul Nidzar, kesemua lima program teras tersebut akan menfokuskan terhadap visi Penang2030 bagi memastikan setiap sekolah menjadikannya sebagai amalan terbaik ke arah kecemerlangan.
Malah, MGKNPP turut komited membantu menjayakan visi Penang2030 dengan memastikan tahap penglibatan generasi muda dapat ditingkatkan tanpa mengira kaum dan latar belakang ekonomi.
Berdasarkan statistik yang dinyatakan pada sesi taklimat, terdapat 493 guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa di seluruh sekolah di Pulau Pinang dengan nisbah satu guru kaunseling bersamaan 350 murid sekolah rendah (1:350) dan 1:500 pelajar sekolah menengah.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALVIE CHENG