SERI DELIMA – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap Majlis Iftar Rakyat yang dianjurkan di kelima-lima daerah bukan sahaja dapat mengimarah lagi masjid sempena menyambut bulan Ramadan, malah kian mengerat jalinan ukhwah antara pemimpin serta anak kariah tempatan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap inisiatif program tersebut turut menyuntik nilai perpaduan serta semangat muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Semasa berucap, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengumumkan kelulusan bantuan berjumlah RM8,000 untuk diagihkan kepada 80 penerima terpilih dalam kalangan mualaf, fakir miskin dan anak yatim sekitar Kariah Masjid Sungai Gelugor.
“Penganjuran majlis-majlis (berbuka puasa atau Iftar Rakyat) sebegini sememangnya merupakan instrumen terbaik untuk menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Saya berharap hubungan akrab dua hala ini dapat membantu kita semua untuk bergerak sebagai sebuah komuniti yang mempunyai jati diri yang kuat dan berprinsip serta melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di perkarangan luar Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini pada 8 April 2023.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengulas ucapan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Mohd. Ali Mohd. Yusof berhubung hasrat anggota kariah tempatan untuk membina sebuah dewan serba guna di sini.
Beliau dalam pada itu menyatakan bahawa pihaknya berharap Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor dapat berbincang mengenai permohonan mewujudkan dewan serba guna tersebut dengan pihak Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim untuk proses pertimbangan lanjut peringkat Kerajaan Negeri.
Selain Rosli, turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor yang juga Penasihat Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merangkap Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Dato’ Kamarudin Abdullah.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD