GEORGE TOWN – Majlis pecah tanah bagi projek perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru MADANI di Seberang Jaya dijadualkan pada akhir bulan April 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebelum ini majlis pecah tanah bagi projek tersebut dijangka pada bulan Mac 2025.
“Namun, setelah permohonan kebenaran merancang (bagi projek berkenaan) diperoleh, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh pihak pemaju.
“Maka, majlis pecah tanah kini dijadualkan pada akhir bulan April ini melibatkan pembangunan fasa pertama di Seberang Jaya,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow, Perdana Menteri sebelum ini telah menyatakan harapan agar projek tersebut dapat disegerakan bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan sasar.
Pembangunan projek ini merupakan sebahagian daripada insentif kerajaan dalam menarik lebih ramai bakat untuk bekerja di Pulau Pinang, iaitu dengan menyediakan kemudahan perumahan.
“(Di Pulau Pinang) sebanyak 38,000 unit akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun secara berfasa yang mana fasa pertama adalah di Seberang Jaya dan selebihnya di Bandar Cassia, Batu Kawan.
“Selain itu, bagi projek ini juga, ia akan dibina menggunakan teknologi IBS (Sistem Binaan Berindustri) yang mana tempoh pembinaan dapat disingkatkan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar memberitahu kepada media bahawa projek RMM Bakat Baru MADANI merupakan skim pertama seumpamanya di Pulau Pinang.
“Memandangkan projek ini merupakan skim pertama seumpamanya di Pulau Pinang, beberapa jabatan teknikal perlu melakukan penyesuaian bagi memenuhi garis panduan tanpa menjejaskan kelayakan projek,” katanya sebagai memetik laporan berita bertarikh 10 Februari 2025.
Difahamkan, projek tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna dan taman permainan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM13 bilion.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR