MASIH BERKUMANDANG… Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pulau Mutiara masih segar apabila pelbagai kenamaan, jabatan, unit dan orang perseorangan mengadakan majlis rumah terbuka bagi mengeratkan silaturrahim sedia terjalin.
Pada majlis rumah terbuka Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff yang diadakan di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), ia dihadiri kira-kira 2,000 masyarakat pelbagai lapisan umur, bangsa dan jantina.
Dalam pada itu, Majlis Rumah terbuka Kerajaan Negeri dilangsungkan di Padang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Butterworth, Seberang Perai.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada ucapannya menyeru rakyat Pulau Pinang supaya mengukuhkan perpaduan, bermaaf-maafan sesama insan dan jangan lupa akan sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’.
Sementara itu, sekumpulan anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf zakat dari Rumah Permata Kasih, Taman Pauh Jaya, Seberang Perai menerima cenderahati Aidilfitri serta duit raya pada Majlis Rumah Terbuka Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus yang berlangsung di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Kewangan Negeri. Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan Penasihat Undang-undang Pulau Pinang, Datuk Faiza Zulkifli turut hadir memeriahkan majlis dianjurkan.