Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MBSP meriah, raikan kepelbagaian

Admin
whatsapp image 2025 04 15

SEBERANG JAYA – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang berlangsung di Menara Bandaraya dekat sini meriah dan penuh keceriaan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid ketika ditemui berkata bahawa majlis seumpama ini adalah penting sebagai platform mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan.

“Paling penting adalah keinginan kita untuk meraikan (apa jua perayaan) dalam suasana harmoni dengan pelbagai lapisan masyarakat dan juga kaum tanpa mengira sempadan.

“Malaysia (merupakan) sebuah negara yang unik jika dibandingkan dengan luar negara (yang mana) mereka di negara-negara luar terkejut kerana kita (Malaysia) mempunyai pelbagai kaum tetapi masih boleh hidup dengan harmoni.

“Hari ini kita mengambil peluang untuk meraikan bersama-sama dalam majlis rumah terbuka ini, dengan pelbagai jenis makanan hidangan yang disediakan dan yang paling penting adalah ukhuwah serta semangat kebersamaan,” ujarnya.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Gooi Zi Sen; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang juga ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol dan barisan Ahli Majlis MBSP antara yang turut hadir memeriahkan suasana.

Para pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah tradisional seperti ketupat, rendang, sate serta aneka kuih-muih, menjadikan majlis ini ‘hidup’ dengan gelak tawa dan senyuman.

Majlis ini berjaya menjadi simbolik pada semangat perpaduan dan kerjasama dengan dihadiri kira-kira 2,000 tetamu, termasuk kakitangan MBSP dan orang awam, sekali gus mencerminkan nilai harmoni yang menjadi kebanggaan negara.

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI