Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri meriah, penuh tradisi

Admin

BAYAN LEPAS – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang yang diadakan di Arena SPICE dekat sini meriah dan penuh tradisi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow segak berbusana biru hadir bersama-sama isteri, Puan Tan Lean Kee menyantuni para tetamu yang tidak putus-putus sejak jam 3 petang.

Turut mengiringi, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri; barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta dif-dif jemputan lain.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff yang menyempurnakan acara lou sang menambahkan lagi seri majlis di sini.

Selain pelbagai juadah istimewa tempatan, turut disajikan persembahan pentas bercirikan tradisional tiga kaum utama di Malaysia.

PERSEMBAHAN tradisional yang menggabungkan keunikan kaum-kaum di Malaysia.

Di samping itu, pengunjung juga tidak melepaskan peluang merakam gambar-gambar kenangan di ruang fotografi di sini selain berpeluang berswafoto bersama-sama pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Paling dinanti-nantikan oleh pengunjung cilik adalah sesi pemberian angpau oleh Ketua Menteri dan isteri.

 

Berdasarkan tinjauan Buletin Mutiara, dianggarkan kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang kaum dan peringkat umur hadir memeriahkan majlis petang ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD