Majlis Sains Pulau Pinang ditubuh

Admin

SEJAJAR dengan prinsip untuk Perkasakan rakyat Pulau Pinang dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pendidikan, Pulau Pinang telah muncul sebagai negeri pertama yang mengambil inisiatif untuk mewujudkan Majlis Sains Pulau Pinang (MSPP) atau ‘Penang Sains Council’ (PSC) pada Januari 2010.

Berteraskan objektif utama untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan sains, misi MSPP adalah untuk menarik dan menggalakkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja bergiat dengan lebih kreatif dan inovatif di dalam bidang sains dan teknologi tempatan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa MSPP menfokuskan kepada minda muda bagi memupuk percambahan minat terhadap kedua-dua bidang penting ini demi pembangunan negeri Pulau Pinang dan juga negara secara keseluruhan.

Pulau Pinang memerlukan sumber manusia. Kita perlu menfokuskan kepada generasi baru. Malah, ia merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik Kerajaan negeri untuk menghasilkan lebih ramai saintis muda yang kemudian dapat berkecimpung di dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat ICT bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat ilmu ekonomi bertaraf antarabangsa.

Sejajar dengan matlamat tersebut, fokus utama adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru tempatan dan sekaligus mengubah corak budaya kerja di Malaysia yang sentiasa menerhadkan kemampuan golongan pekerja berkemampuan disebabkan faktor-faktor tertentu khususnya politik. Situasi ini mendorong golongan berbakat berhijrah ke luar negara dan secara tidak langsung menyebabkan negara kekurangan guna tenaga kerja mahir,’’ katanya di sini baru-baru ini.

KETUA Menteri bersama peneraju-peneraju Majlis Sains Pulau Pinang pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri bersama peneraju-peneraju Majlis Sains Pulau Pinang pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, pihak industri merupakan intipati utama dalam menjayakan misi MSPP dan Kerajaan negeri hanya memainkan peranan amat minimal di dalam perancangan dan pengimplementasian program-program yang bakal dijalankan dari semasa ke semasa.

Antara pihak industri yang bakal menerajui MSPP adalah dari sektor elektrikal dan elektronik, kesihatan dan bio-teknologi.

Lazimnya, MSPP ditunjangi lima teras utama oleh pihak-pihak industri berdasarkan bidang kepakaran masing-masing seperti berikut :

I. Sistem Pendidikan dan Pembelajaran yang mampan: Motorola Technology Sdn. Bhd. (Motorola)

bertujuan mendorong golongan muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah untuk berkecimpung di dalam bidang sains dan teknologi melalui ceramah yang dikendalikan oleh pakar-pakar sains, usahawan, kuiz, pertandingan serta pameran

II. Sistem mentor berpandukan pengasasan saintifik : Mini-Circuits Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.

-bertujuan memberi nasihat, tunjuk ajar dan sokongan berbentuk kewangan bagi merealisasikan idea dan rekaa-rekaan baru golongan muda

III. Galakan dan dorongan melalui pengasuhan industri : Pengerusi, Malaysian American Electronic Industry (MAEI), Y.Bhg. Dato’ Wong Siew Hai

-mempamerkan hasil-hasil inovasi sains sebagai galakan dan dorongan kepada generasi pelapis bagi percambahan idea-idea baru

IV. Inovasi dan penyelidikan : Intel Malaysia Sdn. Bhd.

-meneruskan kebolehan dan kelebihan negeri Pulau Pinang melalui rangkaian perhubungan yanag canggih, pusat inovasi dan penyelidikan bagi menggalakkan idea serta inovasi-inovasi baru

V. Sains kemanusiaan dan bio-teknologi : B Braun Sdn. Bhd.

-memupuk minat golongan muda di dalam bidang sains kemanusiaan dan peerubatan yang dilihat sebagai bidang berpotensi tinggi di Pulau Pinang