Majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran IPK serlah semangat muhibah masyarakat – Ketua Menteri

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) bersama-sama tetamu kehormat lain semasa acara ‘Yee Sang’ dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada malam tadi.

GEORGE TOWN – Penganjuran majlis sambutan Tahun Baru Cina 2023 yang julung kalinya diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang melambangkan kejayaan institusi kepolisan negeri dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat lokal di sini.

KETUA Menteri (tengah) dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor sebagai tetamu kehormat dalam majlis sambutan berkaitan menjadi simbol semangat muhibah rakyat di negeri ini.

“(Majlis sambutan) ini merupakan suatu kesempatan buat PDRM (Polis Diraja Malaysia) bersama-sama masyarakat tempatan meraikan Tahun Baru Cina.

“Saya difahamkan perayaan serupa seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan sebagainya turut akan dianjurkan, yang mana menunjukkan sikap amat terbuka (PDRM dalam) meraikan kepelbagaian dalam masyarakat kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan kepada pemberita seusai majlis tersebut di sini pada 17 Februari 2023.

Bercakap dalam sidang media berasingan, Ketua Polis Negeri, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd Zain memberitahu bahawa penganjuran majlis perayaan berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu pelbagai kaum sebagai menyahut mesej perpaduan yang disemarakkan peringkat Kerajaan Persekutuan sekarang.

Di samping itu, Mohd. Shuhaily turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Cawangan Khas Negeri, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Winston Tan Thye Wah selaku pengerusi jawatankuasa penganjur atas kejayaan majlis berkenaan.

Nyanyian lagu tradisional, paluan gendang serta tarian kebudayaan Cina, tarian naga, ‘diabolo’, tarian komuniti Baba Nyonya Pulau Pinang serta demonstrasi menghasilkan karya kaligrafi Cina merupakan antara persembahan pentas yang menarik dalam majlis sambutan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT